SINGAPURA: Penggunaan peluru berpandu udara ke udara jarak jauh oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Indo-Pasifik boleh menyekat kemampuan ketenteraan China di udara.
Menurut pakar, peluru berpandu baharu AIM-174B yang dibangunkan daripada peluru berpandu pertahanan udara SM-6 Raytheon sedia ada, adalah peluru berpandu dengan jarak paling jauh pernah digunakan oleh AS.
Ia mempunyai tiga kelebihan utama iaitu boleh terbang lebih jauh daripada peluru berpandu milik AS yang digunakan kini, AIM-120, menjimatkan kos kerana hanya perlu diubah suai daripada roket sedia ada dan boleh digunakan dengan sebuah pesawat Australia.
Peluru berpandu AIM-174B yang boleh menyerang sasaran sejauh 400 kilometer, mengatasi kemampuan misil milik China, PL-15 China, sekali gus membolehkan jet AS mengelak ancaman dari kapal pengangkut pesawat Beijing.
“AS juga boleh memastikan keselamatan aset penting mereka seperti kapal pengangkut dan melancarkan serangan jarak jauh terhadap sasaran Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China,” kata seorang penyelidik di badan pemikir Taipei, Persatuan Ramalan Strategik, Chieh Chung.
Negara-negara Barat lain masih tidak mempunyai kemampuan sedemikian.
Peluru berpandu China, AIM-120 yang mempunyai jarak maksimum sekitar 150 kilometer perlu dilancarkan pesawat pelancar yang terbang hampir ke kawasan musuh, mendedahkan kapal pengangkut pesawat kepada risiko serangan yang lebih besar.
Dengan senjata canggih tu, Tentera Laut AS dijangka boleh melaksanakan serangan dari lokasi beberapa ratus kilometer berbanding China sekiranya konflik berlaku di Laut China Selatan.- AGENSI










