Pekerja berhak abai mesej majikan luar waktu kerja

Pekerja berhak abai mesej majikan luar waktu kerja

UNDANG-undang baharu Australia membolehkan pekerja mempunyai kehidupan seimbang antara kerja dan keluarga.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia meluluskan satu undang-undang yang menetapkan golongan pekerja di negara ini berhak mengabaikan panggilan telefon atau e-mel yang dihantar oleh majikan selepas waktu bekerja serta pada hujung minggu.

Al Jazeera melaporkan, peraturan baharu yang diperkenalkan hari ini itu, adalah sebahagian undang-undang bagi membolehkan pekerja mempunyai kehidupan seimbang antara kerja dan keluarga terutamanya selepas penggunaan meluas komunikasi secara digital ekoran pandemik Covid-19.

Parti Buruh yang mengetuai kerajaan berharap, pembaharuan yang diperkenalkan itu dapat mengurangkan tekanan kepada pekerja yang tidak perlu lagi memantau telefon selepas waktu bekerja sebaliknya boleh meluangkan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun, peraturan baharu terbabit menyatakan, majikan masih boleh menghubungi pekerja untuk hal kecemasan terutamanya bagi waktu bekerja yang tidak tetap.

Pekerja pula dibenarkan menolak sekiranya mempunyai alasan yang munasabah.

Undang-undang berkenaan diselia oleh Tribunal Suruhanjaya Persekitaran Kerja Seimbang dan mana-mana syarikat yang melanggar peraturan baharu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga AUD$93,900 (RM276,991).

Australia bukanlah negara pertama memperkenalkan undang-undang tersebut, dengan Perancis pada 2017 menguatkuasakan peraturan sama yang menyaksikan pekerja tidak boleh didenda sekiranya enggan membalas mesej majikan selepas waktu bekerja.

Peraturan sama turut diguna pakai di Jerman, Itali dan Kanada.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN