Pekebun raih RM25,000 jual buah Damak King

Pekebun raih RM25,000 jual buah Damak King

ZULKIFLY Mahmud (kanan) bersama Shaharudin Kadir menunjukkan durian Damak King yang mula gugur di Kampung Jeneris, Ulu Cheka di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang pekebun durian mampu meraih pendapatan sehingga RM25,000 musim ini hasil jualan ‘raja buah’ Durian Premium Kampung (DPK) Damak King di Kampung Jeneris, Ulu Cheka di sini.

Shaharudin Kadir, 64, berkata, dia cuma mempunyai dua pokok Damak King dan selebihnya baka DPK lain yang ditanam di kawasan tanah seluas 1.6 hektar di situ.

“Musim ini, dua batang pokok Damak King cuma berbuah dalam anggaran 500 biji seberat kira-kira 1,000 kilogram dan dijual kepada peraih dengan harga RM25 sekilogram.

“Saya bersyukur kerana memperoleh rezeki hasil jualan buah Damak King walaupun agak kurang berbuah musim ini kerana cuaca panas di samping sebilangan buahnya tidak berkualiti, buruk dan pecah ketika gugur dan tidak dapat dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Shaharudin, Damak King kini antara DPK yang paling popular menjadi kegemaran orang ramai sejak 10 tahun lalu apabila isi dan rasanya mencapai kualiti setanding dengan durian komersial lain.

Dia yang juga pesara kerajaan berkata, DPK lain ditanam oleh bapanya pada 1962 juga laris kerana harganya murah antara RM7 hingga RM8 sekilogram, tetapi Damak King antara buah yang ‘meletup’ harganya, iaitu RM50 sekilogram dijual oleh peraih luar.

“Damak King mula dikenali apabila pernah menjadi juara pertandingan sempena Hari Durian DPK peringkat daerah ini beberapa tahun lalu yang dimiliki oleh seorang pekebun Kampung Damak di sini.

“Saya yang mempunyai pokok durian komersial turut menerima tempias pendapatan agak lumayan sejak tiga musim lalu apabila diambil oleh peraih untuk dibawa ke pasaran luar setiap kali berbuah dan gugur,” katanya.

Dia berkata, spesifikasi bentuk buahnya bulat, mempunyai empat hingga lima pangsa, tekstur isinya lembut, tebal dan berwarna oren, bijinya separa kecil, kulit tebal dan hijau keperangan antara faktor tarikan penggemar ‘raja buah’ berkenaan.

“Isi buahnya pula mempunyai rasa lemak manis, sedikit pahit dan aromanya menusuk ke hidung apabila mula dibelah sekali gus menarik selera penggemar yang pertama kali ingin menikmati isi buah tersebut,” katanya.

Sementara itu, peraih DPK Kampung Damak, Zulkifly Mahmud, 59, berkata, Damak King mula rancak gugur bermula pertengahan bulan ini dan banyak ditempah oleh penggemar raja buah tersebut.

“Rakan saya, Shaharudin merupakan salah seorang daripada 12 pekebun durian di Ulu Cheka dan Damak pembekal durian Damak King pada setiap musim termasuk DPK lain untuk dijual di gerai saya berdekatan Jalan Jerantut – Benta di pekan Damak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN