KUALA LUMPUR: Satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengkaji struktur tanah bagi memastikan kawasan di sekitar Masjid India di sini selamat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, pasukan khas terbabit dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah diaktifkan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh JMG bahawa jenis tanah di lokasi kejadian sesuai untuk pembangunan.
“Bagaimanapun, satu pasukan khas ditubuhkan melibatkan DBKL, JMG dan JKR bagi menyemak dan melihat kawasan ini.
“Tetapi apa yang kita juga dapat maklumat daripada JMG adalah ia (lokasi kejadian) tanah yang biasa, boleh ada pembangunan dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Ditanya berhubung tular video-video di media sosial mendakwa Kuala Lumpur tidak selamat, beliau berkata, dakwaan tersebut mestilah disokong bukti dan kajian terperinci.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur ini dah lama dibina dan selama ini ia selamat. Oleh itu, kalau nak mengatakan tidak selamat mestilah ada menunjukkan bukti dan kajian terperinci,” katanya.
Tambahnya, premis-premis perniagaan di kawasan tersebut yang ditutup sejak Jumaat lalu boleh beroperasi seperti biasa esok. – UTUSAN










