SEREMBAN: Sebuah tempat perlindungan menempatkan anjing-anjing terbiar yang ditangkap akan dibina di sebuah kawasan di sini sebagai salah satu usaha menyelesaikan aduan orang ramai berkaitan anjing terbiar di kawasan-kawasan perumahan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, tempat perlindungan anjing terbiar itu juga akan dibina dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada masa yang sama menurutnya, ia memastikan langkah penyelesaian masalah itu tidak melanggar Akta Kebajikan Haiwan Peliharaan 2015.
“Tentunya tempat penyimpanan anjing-anjing yang ditangkap ini tidak mampu dilaksanakan dengan sendiri oleh kerajaan sahaja. Kita memerlukan bantuan dan kerjasama daripada NGO.
“Oleh itu, kerajaan negeri telah meluluskan sebidang tanah di Jalan Mantin ke Lenggeng di sini untuk diusahakan sebagai tempat penyimpanan anjing terbiar kepada sebuah NGO.
“Untuk menyediakan beberapa kemudahan asas di kawasan tempat penyimpanan anjing terbiar ini, kerajaan negeri juga telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk membina pagar keliling kawasan ini dan juga beberapa sokongan lain,” katanya ketika dihubungi.
Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai dalam pada itu berkata, peruntukan sebanyak RM100,000 telah pun disediakan kerajaan negeri bagi tujuan pemandulan anjing-anjing terbiar yang telah ditangkap berkenaan.
“Setakat bulan Mei lalu sebanyak 378 ekor anjing telah ditangkap dan dimandulkan. Selain itu, melalui peruntukan di bawah Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sebanyak 1,378 ekor anjing juha telah ditangkap dan dihantar ke pusat perlindungan anjing terbiar ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, anjing terbiar yang ditangkap tidak akan dilepaskan semula dan hanya akan disimpan di beberapa pusat perlindungan sedia ada yang diusahakan oleh NGO terlibat.
“Keberkesanan program pemandulan anjing ini akan mengambil masa dan tidak dapat lihat dengan segera. Pada masa yang sama, anjing yang ditangkap dan dimandulkan ini tidak boleh dilepaskan di kawasan yang sama.
“Oleh itu, memerlukan tempat yang sesuai dan lebih besar untuk menyimpan anjing-anjing terbiar ini dan diuruskan oleh NGO.
“Apabila ia dilaksanakan dalam satu tempoh masa lima atau 10 tahun akan datang populasi anjing terbiar di kawasan perumahan dapat dikawal dan ia juga terpakai kepada semua jenis peliharaan yang dibela di kawasan perumahan,” katanya.-UTUSAN.










