Negara 'tercemar' jika proses timba ilmu tidak seimbang dengan akhlak - Utusan Malaysia

Negara ‘tercemar’ jika proses timba ilmu tidak seimbang dengan akhlak

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses menimba ilmu sebanyak mungkin perlu diseimbangkan dengan penyemaian nilai, akhlak serta prinsip kebenaran.

Menurut Perdana Menteri, kegagalan untuk mengaplikasikan dua proses penting dalam pendidikan itu boleh menyebabkan negara akan menjadi ‘tercemar’.

“Jadi, dua perkara ini tak boleh tinggal. Jika tidak, negara kadang-kadang boleh ‘tercemar’ dengan salah tatakelola, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Ini kerana, (proses) menimba ilmu itu tidak menerapkan nilai akhlak dan prinsip kebenaran,” katanya ketika berucap semasa sesi lawatan ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar terus memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah bagi menyokong pembangunan negara termasuk soal nilai hormat-menghormati.

“Ini cabaran pendidik. Guru-guru ada peranannya. Begitu juga dengan pelajar dan ibu bapa.

“Pada masa yang sama, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan alumni (sekolah) turut mempunyai peranan penting iaitu dalam memberikan ruang supaya pendidikan menjadi lebih bermutu dan bermakna,” katanya.

Tambah beliau, penerokaan ilmu baharu juga perlu diseimbangkan dengan budaya, akhlak dan agama agar matlamat menuntut ilmu itu tidak tersasar.

“Maknanya, ia seolah-olah kita menggapai apa yang ada di langit, cuba mencapai, menangkap bidang baru atau ilmu baru. Jadi, menggapai di langit ini jangan kita tinggalkan akar tradisi budaya, akhlak, agama agar ada keseimbangan,” jelasnya.

Pada sesi lawatan tersebut, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 iaitu RM225,000 bagi pembinaan surau serta RM275,000 lagi bagi keperluan mendesak yang lain seperti penyelenggaraan di sekolah berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya