Masyarakat antarabangsa kini berdepan ancaman jenayah siber ekoran penggunaan media sosial tanpa kawalan sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat khususnya melibatkan generasi kanak-kanak.
Bukan sahaja golongan bawah umur, malah dewasa juga berdepan masalah sama yang terkesan akibat buli siber seperti komen jelek yang tersebar melalui pelbagai platform media sosial.
Keadaan ini memaksa beberapa kerajaan negara lain melakukan tindakan tegas untuk mengekang situasi tersebut daripada bertambah parah antaranya melaksanakan sekatan dan mengarahkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan.
Terbaharu, United Kingdom (UK) berdepan rusuhan besar-besaran kerana penularan maklumat palsu di media sosial susulan kejadian remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menikam dan membunuh tiga gadis muda di Southport, utara England pada bulan lalu.
Lebih 50 pegawai polis cedera dalam tunjuk perasaan di Southport pada Selasa, selepas mereka bertindak membakar van polis dan membaling batu ke arah pihak berkuasa.
Pada mulanya, tular mesej palsu di platform X, Facebook, Instagram yang menerima tonton sekurang-kurangnya 15.7 juta bahawa suspek adalah seorang migran yang radikal. Lebih mengejutkan maklumat itu juga disiarkan dalam sebuah televisyen di UK yang kemudiannya memohon maaf kerana menerbitkan fakta mengelirukan dan tidak tepat.
Malah SkyNews melaporkan Telegram digunakan pihak tertentu untuk mengiklankan bunga api dan suar yang digunakan untuk membuat rusuhan tersebut.
Keadaan itu memaksa Perdana Menteri UK, Keir Starmer mengeluarkan amaran kepada syarikat media sosial bahawa mereka mesti menegakkan undang-undang untuk melarang hasutan dan keganasan dalam talian selepas penularan maklumat palsu mengenai kejadian itu.
Tegas Starmer, rusuhan itu merupakan satu gangguan yang jelas didorong oleh kumpulan tertentu dan didorong ledakan teknologi serta penyebaranmaklumat palsu.
“Biar saya katakan kepada syarikat media sosial, gangguan keganasan jelas berlaku dalam talian, itu juga satu jenayah.
“Ia berlaku di premis anda dan undang-undang mesti ditegakkan untuk menghalangnya,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di London, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap TikTok dan syarikat induknya, ByteDance kerana didakwa gagal melindungi privasi kanak-kanak di aplikasi media sosial ketika pentadbiran Presiden Joe Biden meneruskan tindakan keras ke atas laman media sosial itu.
Memetik laporan Reuters, pihak berkuasa AS berkata, TikTok melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA).
DOJ berkata, TikTok dengan sengaja membenarkan kanak-kanak membuka akaun media itu dan kemudiannya mencipta, berkongsi video serta mesej pendek dengan individu dewasa dan orang lain di platform media berkenaan.
TikTok juga didakwa mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak tanpa mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka.
AS turut mendakwa, selama bertahun-tahun, jutaan kanak-kanak negara itu di bawah usia 13 tahun menggunakan TikTok, dan laman web berkenaan ‘mengumpul dan menyimpan maklumat peribadi kanak-kanak’.
Ini jelas bukan sahaja Malaysia, malah negara lain seperti AS dan UK juga berdepan ancaman media sosial sehinggga memaksa mereka mengambil tindakan tegas untuk menghalang ia bertambah padah.
Meskipun media sosial memberi peluang untuk menjana pendapatan dan mengasah bakar, namun platform itu turut membawa ancaman tertentu yang perlu diambil berat.
Secara kesimpulannya, mana-mana kerajaan perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman yang datang melalui mana-mana platform media sosial serta mengawasi setiap kandungan yang dilayari terutamanya melibatkan kanak-kanak.










