MBS selesai roboh papan iklan haram sebelum 31 Ogos - Utusan Malaysia

MBS selesai roboh papan iklan haram sebelum 31 Ogos

PAPAN iklan haram yang dirobohkan kontraktor dilantik MBS menerusi Operasi Pemantauan Papan Tanda Iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan di Seremban baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 20 lagi baki unit papan iklan haram di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan di dalam daerah ini akan dirobohkan pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjelang hujung bulan ini daripada keseluruhan 225 unit tanda roboh yang telah dikeluarkan.

Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, jumlah tersebut selepas sebanyak 60 unit papan iklan haram yang telahpun dirobohkan pihak penguat kuasa MBS menerusi Operasi Pemantauan Papan Tanda Iklan yang telah digerakkan sejak 9 Julai lalu.

“Kerja-kerja pembersihan papan tanda iklan haram masih berjalan ketika ini dan MBS jangkakan dapat selesaikan kesemuanya iaitu sebelum 31 Ogos seperti mana arahan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim,” katanya hari ini.

Pada 9 Julai lalu, satu Operasi Pemantauan Papan Tanda Iklan di sepanjang 45 kilometer Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu dari arah Bukit Mahkota sehingga ke Pedas telah dilaksanakan oleh pihak MBS yang diketuai oleh Mohd. Zafir.

Ketika itu, beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kehilangan kutipan hasil lebih RM500,000 gara-gara pemilik produk dan perkhidmatan yang memasang papan tanda iklan haram dan tanpa kelulusan.

Jumlah berkenaan jelasnya berdasarkan anggaran iaitu RM1,200 untuk cukai taksiran dan tidak termasuk permit bangunan dan lesen iklan serta tanah. 

Sementara itu, Hanizam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu papan iklan haram tersebut dan tindakan lebih tegas akan diambil termasuk membawa kes yang dikenal pasti ke mahkamah untuk pendakwaan. 

“Usaha ini bagi membendung isu papan iklan yang tidak mempunyai lesen kerana ia berisiko mendatangkan bahaya termasuk kepada pengguna lebuh raya.

“Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan dengan mengeluarkan kompaun, notis, tanda dan perobohan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN