Lima rumah masih terjejas banjir termenung di Port Dickson - Utusan Malaysia

Lima rumah masih terjejas banjir termenung di Port Dickson

KEADAAN sebuah rumah di Kampung Tanjung Agas yang masih ditenggelami air ekoran banjir termenung yang berlaku di bawasan berkenaan yang turut berpunca daripada fenomena air pasang.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak lima buah rumah di beberapa buah perkampungan di Linggi, di sini, masih ditenggelami kira-kira air kira-kira 0.3 meter susulan banjir termenung di lokasi tersebut akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak kelmarin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohd. Azri Abu Hassan berkata, setakat pukul 11.30 pagi tadi, terdapat tiga pusat pemindahan sementara (PPS)  masih dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Menurutnya, terdapat seramai 39 ketua isi rumah dengan bilangan mangsa seramai 147 orang membabitkan kawasan atau penempatan di DUN linggi yang rendah seperti Kampung Linggi, Kampung Permatang Pasir, Kampung Tanjung Agas dan Taman Linggi Idaman. 

“Itu antara kawasan-kawasan yang rendah. Hari ini berlaku pertambahan tiga keluarga berbanding semalam terutamanya di Kampung Tanjung Agas.

“Buat masa sekarang ni, kalau kita lihat dari segi cuaca, agak mendung. Keadaan sekitar terutamanya di kawasan DUN linggi ni nampak beransur sikit (air surut) tetapi ada beberapa kawasan masih banjir termenung dengan lima rumah masih terjejas.

“Cuaca semasa kita dapati masih lagi mendung, yang kami risaukan hujan lagi memandangkan punca banjir dari fenomena air pasang besar serta hujan lebat. Jika diikutkan air pasang hari ini 2.4 meter, pada paras yang normal lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Tanjung Agas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir memantau keadaan semasa banjir ialah Timbalan Pengarah APM Negeri Sembilan, LT. Kol (PA) Shamil Ithman.

Ujar Mohd. Azri lagi, sekiranya fenomena air pasang besar yang bermula Rabu lalu dan dijangka berakhir pertengahan minggu ini mencatatkan bacaan tiga meter dan ke atas, pihaknya bimbang berlaku kembali banjir.

“Oleh itu kami harap air laut betul-betul surut bagi membolehkan mana-mana kawasan yang masih ditenggelami air akan dapat mengalir ke sungai. Kami akan terus memantau keadaan cuaca ini,” katanya.

Bagi seorang mangsa banjir di Kampung Tanjung Agas, Muhamad Fazli Mohamad Ali, 38, kejadian banjir kali ini bukan hanya menyebabkan dia enam sekeluarga terpaksa menetap di PPS buat kali pertama bahkan ia sudah memasuki hari ketiga.

Menurutnya, kejadian banjir tersebut berbeza pada tahun 2021 apabila air banjir cepat surut berbanding tahun ini air masih memenuhi halaman rumah dan belum surut sepenuhnya.

“Kami tiada pilihan lain dan perlu tinggal sementara di PPS ini sehingga fenomena air pasang besar ini berakhir atau selepas dibenarkan pulang oleh pihak APM,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, kesemua PPS terlibat termasuk  PPS Balai Raya Permatang Pasir dan PPS Balai Raya Kampung Sungai Raya akan dibuka sepanjang fenomena air pasang besar kerana bimbang berlaku semula kejadian banjir terutamanya sekiranya hujan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN