Lapan PATI, tekong darat dicekup Maritim Malaysia

Lapan PATI, tekong darat dicekup Maritim Malaysia

LAPAN orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap Maritim Malaysia di Kuala Sungai Sanglang, Pontian, Johor, pagi kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Mari­tim Malaysia) menahan lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuala Sungai Sanglang di sini, pagi kelmarin.

Pemangku Pengarah Mari­tim Negeri Johor, Kepten Kama Azri Kamil berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat.

Menurutnya, PATI yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun.

“Kira-kira pukul 8.10 pagi kelmarin pada kedudukan 7.3 batu nautika timur laut Pulau Pisang, kami mendapati sebuah bot bergerak memasuki perairan Johor dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kami cuba menghampiri, namun tidak berjaya kerana bot berkenaan memecut laju ke kawasan air cetek di Kuala Sungai Sanglang.

“Berdasarkan maklumat tersebut, satu pasukan darat diatur gerak ke lokasi yang telah dikenal pasti seterusnya berjaya menahan lapan orang PATI bersama seorang warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Kama Azri, kese­mua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Maritim Malaysia Negeri Johor untuk siasatan lanjut.

“Sebuah bot fiber warna biru tanpa pendaftaran bersama engin dan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI disita.

Katanya, kesemua PATI warganegara Indonesia yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar masuk negara melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Hukuman bagi kesalahan ini ialah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bertindak sebagai tekong darat disiasat di bawah Akta Anti Pemerdaga­ngan Orang dan Akta Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya.

Ujar beliau, hukuman bagi ATIPSOM 2007 adalah penjara 15 tahun dan denda atau ke­dua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×