SEOUL: Korea Selatan hari ini melancarkan usaha pembasmian kuman selepas wabak demam babi Afrika (ASF) dilaporkan di sebuah ladang di Gimpo, wilayah Gyeonggi.
Wabak yang disahkan hari ini adalah kes virus kelapan di negara itu, lapor Yonhap News.
Pihak berkuasa Korea Selatan menyiasat ladang yang terjejas dan melaksanakan langkah kuarantin kecemasan untuk mengelakkan penyakit babi tersebut daripada merebak.
“Memandangkan trend ASF sering berlaku pada musim luruh, terdapat kemungkinan besar berlakunya penularan wabak,” kata jurucakap Kementerian Pertanian, Kim Jong-ku.
Beliau juga memberi amaran pergerakan sejumlah besar rakyat semasa cuti musim luruh boleh meningkatkan risiko penularan.
Wabak itu dikesan menjelang percutian tiga hari pertengahan musim luruh Chuseok, yang ditetapkan pada 20 hingga 22 September, di mana terdapat upacara ritual nenek moyang diadakan.
Demam babi Afrika tidak menjangkiti manusia, tetapi sangat mudah berjangkit dalam kalangan babi domestik dan liar.- ANADOLU










