PASIR MAS: Polis mengesahkan video seorang pelajar yang dibuli oleh rakannya merupakan rakaman lama yang ditularkan semula menerusi laman sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kamal Azural Mohamed berkata, kejadian itu berlaku pada
tahun 2020 lalu dan kesemua yang terlibat sudah selesai.
Menurutnya, pelajar yang terlibat telah dituduh bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Pelajar yang terlibat telah didenda RM500 dan bon berkelakuan baik,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, pada Jumaat tular kembali rakaman berdurasi 54 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki sedang dipukul oleh rakannya sementara yang lain menyaksikan kejadian.
Pada masa sama, ada dalam kalangan mereka bertindak merakamkan kejadian tersebut.-UTUSAN