KANGAR: Kira-kira 1,221 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 2,558.56 hektar di negeri ini berisiko menanggung kerugian mencecah RM9.8 juta berikutan masalah kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas dan kemarau ketika ini.
Situasi bertambah buruk apabila empangan Timah Tasoh yang berfungsi sebagai takungan bekalan air untuk pengairan domestik dan pertanian terpaksa membentikan bekalan untuk sumber pertanian selepas paras air menyusut sehingga paras 26.85 meter.
Bekalan air untuk tujuan pertanian tidak dapat dibekalkan sehinggalah paras empangan kembali berada pada paras melebihi 27.10
Antara kawasan yang paling terjejas adalah di Kampung Semadong, Beseri yang membabitkan 70 pesawah di kawasan seluas 86 hektar selepas keadaan sawah kering kontang dengan keadaan tanah pula merekah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, pada masa ini, kawasan bertanam membabitkan keluasan 1,821.27 hektar dijangka rosak jika bekalan air masih tiada dalam tempoh dua minggu ini.
Katanya, manakala kawasan seluas 1,277.33 hektar pula belum melalui proses tanaman berikutan masalah ketiadaan bekalan air ini.
Ujarnya, masalah bekalan air tersebut hanya membabitkan kawasan tanaman di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang hanya bergantung kepada hujan dan empangan Timah Tasoh.
Justeru bagi mengatasi masalah itu, katanya, kerajaan negeri telah menghantar surat atau permohonan kepada pusat agar melaksanakan operasi pembenihan awan dan berharap proses berkenaan dapat disegerakan.
“Masalah air yang dihadapi ini adalah sangat serius dan memerlukan tindakan segera. Trend di empangan Timah Tasoh juga terus menunjukkan penyusutan kadar air sehingga paras 26.85 meter sekali gus menyebabkan bekalan air untuk pertanian terpaksa dihentikan.
“Selain kita berharap hujan turun, operasi pembenihan awan juga perlu dilaksanakan segera bagi membantu tanaman padi di negeri ini khususnya di luar kawasan MADA yang paling terjejas teruk.
“Di kawasan MADA, tanaman pada masa ini tidak menghadapi masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sebagai rekod, empangan Timah Tasoh yang berkeluasan 20 kilometer persegi itu dapat menampung kapasiti takungan sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman aras normal pula ialah sekitar 29.1 meter.
Pada ketika ini,hanya bekalan air untuk kegunaan domestik sahaja yang dapat dibekalkan daripada empangan Timah Tasoh manakala bagi kegunaan pengairan untuk aktiviti pertanian tidak dapat dibekalkan.
Difahamkan anggaran bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian hanya dapat dibekalkan selama dua bulan sahaja sekiranya tiada hujan yang berlaku di dalam kawasan tadahan empangan tersebut.
Sementara itu, seorang pesawah dari Kampung Semadong, Che Azli Che Norohoseni,34, berkata, kebanyakkan sawah padi yang mereka usahakan kini berusia sekitar dua bulan dan berkemungkinan terbantut sekali gus bakal menyebabkan hasil terjejas teruk dengan pesawah bakal menanggung kerugian.
Katanya, bagi menyelesaikan masalah tersebut untuk jangka panjang antara lain kerajaan diminta menyediakan telaga tiub di kawasan berkenaan bagi membekalkan sumber air untuk aktiviti pertanian
Ujarnya, kos untuk telaga tiub tersebut difahamkan sekitar RM200,000 yang jika tidak tidak disediakan akan menyaksikan masalah sama terus berulang memandangkan pesawah di kawasan tersebut hanya bergantung kepada sumber air hujan dan empangan.
“Kita mula usahakan tanaman Jun lalu namun keadaan sekarang menjadi kering kontang, sepatutnya padi sudah bunting ketika ini. Tidak tahulah bagaimana hasil nanti,” katanya. – UTUSAN










