SEREMBAN: Jenazah bekas Mufti Negeri Sembilan, Allahyarham Datuk Mohd. Yusof Ahmad, 79, yang meninggal dunia malam kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd. Said, Sikamat di sini kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang meninggal dunia akibat komplikasi penyakit barah hati disembahyangkan di Masjid Negeri, Seremban yang diimamkan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan menyertai solat jenazah tersebut. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang di sini kira-kira pukul 7.43 malam kelmarin.
Menantu Allahyarham, Danial Farhan Dolmat berkata, bapa mentuanya meninggal dunia dalam keadaan koma selepas dibawa dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, Kuala Lumpur.
Katanya, Allahyarham disahkan menghidap barah hati lebih sebulan lalu.
Dilahirkan pada 7 Februari 1945 di Air Mawang, Johol, Kuala Pilah, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Pahariah Jamaludin dan enam cahaya mata bersama 20 orang cucu.
Arwah yang juga bekas guru merupakan Mufti Negeri Sembilan keempat yang dilantik pada tahun 2009 dan bersara pada 2023. – UTUSAN










