JAWI Run 2.0 capai objektif, tarik lebih 15,000 peserta pelbagai kaum

JAWI Run 2.0 capai objektif, tarik lebih 15,000 peserta pelbagai kaum

MOHD. Na’im Mokhtar ketika hadir melepaskan peserta JAWI Run 2.0 di Dataran Wawasan, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program JAWI Run 2.0 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama rakan strategik mencapai objektifnya apabila disertai lebih 15,000 peserta.
Lebih membanggakan, edisi kedua larian itu disertai masyarakat pelbagai kaum, agama dan bangsa di negara ini sekali gus menterjemahkan semangat kesatuan dan perpaduan utuh di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, edisi kedua larian itu juga mencatat rekod tersendiri dengan penyertaan terbanyak berbanding acara larian dianjurkan di bawah agensi agama sebelum ini.

Beliau berkata, objektif program bermatlamat menyatupadukan rakyat di negara ini dan ia antara inisiatif utama yang ingin dicapai Kerajaan Perpaduan menerusi konsep Malaysia Madani.

“Saya berpandangan objektif JAWI Run 2.0 ini mencapai objektifnya dan saya ucap syabas pada Jawi.
“Saya juga harap kejayaan penganjuran ini dapat membantu negara untuk menolak sentimen dan ekstremisme yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta JAWI Run 2.0 di Dataran Wawasan, di sini semalam.

Katanya, beliau berharap Jawi dapat terus menggerakkan usaha penyatuan dan memperkukuhkan perpaduan rakyat di negara ini.

Mohd. Na’im berkata, larian ini disertai 71 peratus kaum Melayu, Cina (18 peratus), India (5 peratus) dan lain-lain (8 peratus) membabitkan bumiputera Sabah dan Sarawak serta warga Kenya, India, Vietnam, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapore, Australia dan United Kingdom, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, program itu turut mendapat kerjasama Koperasi PPZ Bhd., VFive Group, Perbadanan Putrajaya serta gabungan masjid dan surau Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, program bermula pukul 4.45 pagi itu disertai remaja dan belia; ahli-ahli kariah masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya; golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan orang awam.

“Tahun 2024 adalah penganjuran kali kedua JAWI Run sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun JAWI. Tahun lalu, ia diadakan di Dataran DBKL, Kuala Lumpur dengan lebih 3,000 peserta.

“Larian membabitkan empat kategori iaitu 3 KM, 5 KM, 10 KM dan 21 KM. Pelbagai hadiah menarik disediakan melalui acara cabutan bertuah yang diadakan sejurus selesai larian.

“Hadiah utama berupa pakej tajaan menunaikan umrah bagi dua orang untuk peserta yang bertuah,” katanya.

Katanya, selain menyuburkan nilai-nilai persaingan sihat, meningkatkan kekuatan fizikal dan kecerdasan minda, aktiviti ini juga dapat mengeratkan perpaduan dan silaturahim serta menyemai semangat muhibah dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, Program Subuh Macam Jumaat turut dilaksanakan bersama-sama peserta larian pada pagi tersebut di Astaka Dataran Wawasan dengan penampilan istimewa selebriti Alif Satar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN