BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mendakwa menjumpai peluru pada enam mayat tebusan yang dikeluarkan daripada terowong di Gaza minggu ini, menunjukkan mangsa mungkin ditembak mati.
Menurut jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari, mayat Yagev Buchshtab, Alexander Dancyg, Yoram Metzger, Nadav Popplewell, Chaim Perry dan Avraham Munder dijumpai di sebuah terowong pada malam Isnin lalu di selatan Genting Gaza.
Bagaimanapun, pihaknya masih belum dapat memastikan punca kematian mereka.
“Mayat mereka dibawa keluar daripada terowong semasa satu operasi tentera Israel di Khan Younis.
“Pemeriksaan lanjut menemui peluru pada jasad mereka, namun punca kematian masih disiasat,” katanya.
Enam tebusan itu adalah antara 251 yang ditahan kumpulan pejuang Hamas sejak rejim Zionis melancarkan serangan ke Gaza pada 7 Oktober lalu.
Menurut pihak berkuasa Israel, daripada jumlah itu, sebanyak 105 tebusan masih dalam tahanan Palestin dengan 34 daripadanya dipercayai meninggal dunia.
Menurut laporan AFP, konflik Israel Hamas meragut 1,199 nyawa penduduk Israel, jumlah yang jauh lebih rendah berbanding lebih 40,000 kematian dalam kalangan penduduk Palestin di Gaza.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberitahu, kebanyakan yang terkorban di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.- AGENSI










