TEL AVIV: Israel mengambil semula mayat enam warganya yang dijadikan tebusan sejak 7 Oktober tahun lepas, dari kawasan Khan Younis di selatan Gaza.
Menurut penyiar awam Israel, KAN, mayat enam warga Israel, termasuk Abraham Munder, Nadav Popplewell, Yagev Buchstab dan Yoram Metzger, dibawa kelaur dari Gaza, malam tadi.
The Times of Israel mengenal pasti tebusan kelima sebagai Chaim Peri dari Kibbutz Nir Oz dekat Gaza.
KAN melaporkan, enam warga Israel itu masih hidup semasa mereka dibawa ke Gaza pada awal tercetus konflik, tetapi tidak mendedahkan di mana mayat tersebut ditemukan.
Forum Keluarga Tebusan, organisasi yang mewakili waris, menyambut baik perkembagan itu, namun konsisten menggesa kerajaan Tel Aviv untuk segera memuktamadkan perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas.
“Pemulangan segera baki 109 tebusan hanya boleh dicapai melalui perjanjian yang dirundingkan.
“Kerajaan Israel, dengan bantuan pengantara, mesti mengambil langkah sewajarnya untuk memuktamadkan perjanjian,” katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa Israel menganggarkan 115 warganya ditahan di Gaza, dengan kumpulan pejuang Hamas mendakwa ramai daripada mereka terbunuh dalam serangan rejim itu.
Beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Israel menemukan mayat beberapa warganya dari Gaza sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan mereka.
Awal Jun lalu, pasukan Israel menyelamatkan empat warganya yang masih hidup dari kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, dalam operasi yang mengakibatkan lebih 210 rakyat Palestin terbunuh.










