BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant saling berbalas kritikan semalam, berhubung rundingan gencatan senjata yang tergendala untuk membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza.
Dalam satu taklimat tertutup Jawatankuasa Knesset, saluran televisyen KAN melaporkan Gallant sebagai berkata, Israel turut menjadi punca rundingan tebusan tergendala.
Beliau yang memilih jalan perdamaian berkata, konflik antara Israel dan Hamas boleh diselesaikan menerusi satu perjanjian.
“Saya dan kementerian menyokong pilihan pertama iaitu perjanjian.
“Kita tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan mengandungi ayat seperti ‘kemenangan mutlak’ dan ‘semuanya karut’,” katanya memetik frasa yang sering digunakan oleh Netanyahu dalam ucapan beliau.
Beberapa jam selepas kenyataan Gallant dibuat, Netanyahu menerusi reaksi balasnya menuduh menteri pertahanan itu merosakkan peluang untuk mencapai perjanjian pembebasan tebusan.
“Apabila Gallant mengeluarkan kenyataan anti-Israel, beliau merosakkan peluang untuk mencapai perjanjian pembebasan tebusan,” katanya menambah, Ketua Biro Politik Hamas, Yahya Sinwar adalah satu-satunya halangan kepada perjanjian tebusan.
Beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya menegaskan, satu-satunya pilihan Israel adalah mencapai kemenangan mutlak yang memerlukan komitmen semua pihak termasuk Gallant.- AFP











