THE HAGUE: Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan menggesa hakim untuk segera memutuskan permohonan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa individu lain yang terlibat dalam perang di Gaza.
Beliau meminta panel hakim praperbicaraan ICC untuk segera membuat keputusan mengenai permohonan waran yang difailkan pada Mei lalu terhadap Netanyahu.
Permohonan tersebut turut melibatkan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dan tiga pemimpin Hamas, di mana dua daripadanya sudah meninggal dunia.
Khan dalam hujahan undang-undang setebal 49 muka surat menegaskan, mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam situasi itu.
Dalam permohonannya, Khan menuduh Netanyahu, Gallant dan tiga pemimpin Hamas iaitu Yahya Sinwar, Mohammed Deif serta Ismail Haniyeh, melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza serta Israel.
Haniyeh dan Deif terbunuh dalam serangan Israel, manakala Sinwar dinamakan sebagai pemimpin kanan Hamas yang baharu.
Netanyahu menganggap tuduhan pendakwa ICC sebagai mengaibkan Tel Aviv dan tentera Israel.
Sementara itu, Hamas turut mengutuk tindakan Khan dan menyifatkan permohonan untuk menangkap pemimpin mereka seperti menyamakan ‘mangsa dengan algojo’.
Israel bukan anggota ICC, maka walaupun waran tangkap dikeluarkan, Netanyahu dan Gallant tidak menghadapi risiko segera pendakwaan.
Bagaimanapun, ancaman penangkapan boleh menyukarkan pemimpin Israel itu untuk melakukan perjalanan ke luar negara.- AP











