LONDON: Kumpulan vaksin global Gavi memperuntukkan sehingga AS$500 juta (RM2.2 bilion) untuk dibelanjakan bagi membantu mendapatkan suntikan vaksin kepada negara-negara terjejas oleh wabak mpox yang semakin meningkat di Afrika.
Ketua Eksekutif Gavi, Sania Nishtar berkata, Gavi membantu negara-negara yang kurang sumber membeli dan mengedarkan vaksin, biasanya untuk penyakit kanak-kanak seperti campak, namun usaha itu berkembang semasa pandemik Covid-19.
Sejumlah wang itu tersedia dalam dana ‘First Response’ organisasi, yang ditubuhkan selepas agensi kesihatan global seperti Gavi ketinggalan oleh negara berpendapatan tinggi dalam mendapatkan vaksin semasa awal wabak itu.
Ia boleh digunakan untuk bertindak balas terhadap kecemasan kesihatan, yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, minggu ini.
Dana itu sebahagian besarnya adalah wang yang disumbangkan oleh kerajaan serta pembiaya kesihatan global untuk tindak balas Covid-19.
“Wang untuk vaksin sedia digunakan, tetapi terdapat halangan yang perlu diselesaikan termasuk permintaan rasmi untuk vaksin dari negara yang terjejas, serta kelulusan vaksin daripada WHO,” kata Nishtar.
Gavi dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF), yang bekerjasama untuk membeli vaksin, tidak boleh berbuat demikian tanpa kelulusan WHO.
Rabu lalu, agensi kesihatan global itu berharap dapat memuktamadkan penilaian vaksinnya menjelang September.
Nishtar berkata, Gavi juga dalam perbincangan awal dengan pengeluar dua vaksin mpox, Bavarian Nordic (BAVA.CO) dan KM Biologics.
Pesanan rasmi hanya boleh diteruskan selepas kelulusan, katanya.- REUTERS










