KANGAR: Gantang adalah alat penyukat yang digunakan pedagang pada suatu masa dahulu bagi menjalankan aktiviti jual beli beras di Tanah Melayu.
Kebiasaannya, gantang diperbuat daripada kayu malah ia digunakan secara meluas sebelum sistem metrik diperkenalkan pada tahun 1972.
Selepas itu, gantang tidak lagi digunakan secara komersial dalam sistem sukat dan timbang malah sebahagian daripadanya turut dipamerkan di muzium atau galeri sebagai khazanah warisan.
Memandangkan alatan sukatan itu semakin sukar ditemukan, seorang guru, Laksamana Saad, 47, mengambil pendekatan menyimpan Gantang Perlis milik moyangnya yang dikatakan berusia lebih 200 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Laksamana berkata, Gantang Perlis yang dimilikinya itu mula digunakan sekitar tahun 1807 malah terdapat dua cop mohor dilekatkan bersama pada alat sukatan itu.
“Di atas cop mohor itu terdapat tarikh dipaparkan bersama tulisan yang diukir dan dilekatkan bersama Gantang Perlis tersebut. Ini adalah peninggalan moyang saya dan kemudian diwarisi sejak turun temurun untuk dipulihara dengan baik sehingga kini,” katanya.
Kata Laksamana, sebelum ini, pengkaji-pengkaji sejarah dan gantang telah berkunjung ke rumahnya bagi meneliti alat sukatan itu secara mendalam.
Katanya, menerusi pemeriksaan dilakukan, Gantang Perlis itu dikatakan telah wujud sejak zaman pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah. – UTUSAN










