JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat Malaysia menilai tahap perkhidmatan penjawat awam bermula Isnin ini (esok) khususnya selepas pengumuman kenaikan gaji penjawat awam, semalam.
Menurut beliau, perkara itu wajar dibuat selepas penjawat awam pelbagai gred bakal menikmati ‘ganjaran’ berdasarkan prestasi perkhidmatan mereka.
“Semalam (kelmarin) saya umum kenaikan gaji dan elaun terbaik dalam sejarah bagi mengiktiraf penjawat awam disebabkan ada penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka, ini reformasi yang kita mahu lakukan.
“Jadi ada jaminan dalam kalangan penjawat awam bahawa bermula Isnin ini, penjawat awam di semua negeri perlu masuk kerja mengikut waktu dan bersungguh-sungguh pikul tanggungjawab.
“Rakyat boleh nilai prestasi mereka dan jika ada kelemahan, ia mesti segera dilaporkan. Kerana bila kita dah bagi kelebihan, mereka kena buat kerja dengan baik, jika ada kelemahan ambil tindakan segera untuk menjaga nama baik dan imej penjawat awam. Jika tahap perkhidmatan masih macam dahulu buat apa kita beri ganjaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.
Sementara itu, Anwar memaklumkan pentadbiranya komited mengatasi isu salah laku, penyelewengan dan rasuah dalam kalangan pemimpin termasuk penjawat awam.
“Walaupun saya umumkan kenaikan gaji penjawat awam, tetapi itu tidak melibatkan orang politik seperti menteri dan timbalan menteri, dimana gaji mereka masih sama dengan potongan 20 peratus.
“Malahan saya sendiri, sejak menjadi perdana menteri, saya masih belum mengambil gaji, begitu juga gaji sebagai menteri kewangan. Saya lakukan ini kerana mahu jadikan contoh dan kita perlu berkorban.
“Saya perlu bersyukur kerana terima banyak manfaat seperti kediaman rasmi, pengangkutan kenderaan dan pesawat, Alhamdulillah. Jadi kita beri peluang kepada penjawat awam untuk bantu angkat lagi negara ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar menempelak segelintir pihak yang mengkritik tindakan kerajaan membawa pulang pesakit dan waris rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Katanya, usaha membawa masuk rakyat Palestin yang cedera itu adalah usaha kecil kerajaan jika dibandingkan dengan jumlah 40,000 mangsa terkorban kerana kekejaman rejim Israel.
“Kita bawa anak-anak Palestin yang cedera parah kerana kekejaman tentera rejim Israel, (mereka) dibunuh, rumah dibom, wanita diperkosa dengan zalim, itupun (tindakan bawa masuk) dicerca.
“Ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.
“Ini bantuan kecil dilaksanakan jadi kalau tanya saya syukur kerana ada juga perasaan timbang rasa meringankan beban mereka,”katanya.
Jelasnya, usaha membawa rakyat Palestin itu merupakan satu tindakan berisiko tinggi dan memerlukan pasukan yang mempunyai pengetahuan.
Anwar turut mengutuk pihak yang membuat tohmahan terhadap kerajaan yang didakwa sebagai ejen Yahudi, Amerika Syarikat dan Israel.










