Dua maut, kereta dinaiki dinaiki langgar jengkaut - Utusan Malaysia

Dua maut, kereta dinaiki dinaiki langgar jengkaut

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah jengkaut mengakibatkan dua terbunuh dalam kejadian di Kampung Gelam, Port Dickson, awal pagi tadi.GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON : Dua individu termasuk seorang pelajar kolej maut manakala empat lagi cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebuah jengkaut dalam kejadian di lampu isyarat Kampung Gelam, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, mangsa yang maut merupakan pemandu kereta iaitu lelaki berusia 24 tahun dan seorang perempuan iaitu pelajar koleh berusia 18 tahun yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan kereta itu.

Menurutnya, empat lagi penumpang tempat duduk belakang iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun terdiri daripada pelajar kolej, pelajar sekolah dan seorang buruh mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku, kenderaan yang dinaiki enam individu itu dari arah Port Dickson menghala ke Seremban. Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu telah mengelak kon lalu terbabas dan merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah. 

“Punca kemalangan, dipercayai pemandu kereta telah gagal mengawal kenderaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memaklumkan, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.36 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah jengkaut.

“Dua orang daripada mangsa iaitu pemandu lelaki dan penumpang wanita yang duduk di bahagian hadapan kenderaan telah tersepit dan kemudian dikeluarkan oleh pihak bomba namun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN