JOHOR BAHRU: Ibu guru wanita yang dibunuh kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang mayatnya ditemukan tanpa kepala, tangan dan kaki di dalam tong sampah di Alor Gajah, Melaka, Disember lalu pernah bermimpi anak perempuannya pulang ke rumah.
Saleha Ya, 58, memberitahu, mimpi itu berlaku ketika arwah tidak pulang ke rumah sejak beberapa minggu dan perasaannya amat risau dan resah memikirkan keselamatan anak sulungnya itu.
Namun, yang anehnya dalam mimpi tersebut arwah pulang ke rumah didampingi insan yang telah meninggal dunia.
“Dua kali arwah datang dalam mimpi, mak cik mimpi dia pulang ke rumah. Kali pertama dia dihantar pulang oleh kakak ipar mak cik dan yang kedua bekas bos mak cik yang hantar dia pulang.
“Kedua-dua insan ini telah lama meninggal dunia, tertanya-tanya juga kenapa mereka yang hantar dia, jauh di sudut hati mak cik berharap dia selamat dan masih hidup,” katanya ketika ditemui di Kota Masai, dekat sini hari ini.
Pada 26 Disember lalu, Istiqomah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, di sini tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja dan keesokannya, kereta milik mangsa ditemukan di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemukan disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember lalu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat itu dikenal pasti sebagai Istiqomah hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Saleha mengakui tidak menyangka mimpi tersebut merupakan petanda anaknya itu sudah pergi selama-lamanya dan lidahnya kelu apabila dimaklumkan pihak polis bahawa mayat wanita yang dibunuh kejam itu adalah anaknya yang hilang sejak lapan bulan lalu.
Mengenai keperibadian anaknya itu, Saleha mengakui arwah merupakan anak yang penyayang dan baik serta masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir anak sulungnya itu.
“Semasa bercuti bersama-sama keluarga arwah di Morib, Selangor pada 24 Disember lalu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Semasa pada akhir perjumpaan, arwah ada cakap ‘jumpa lagi Hari Raya nanti’, tidak sangka pula itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya dengan nada sedih. – UTUSAN










