Dua anggota polis stabil, dipindah ke wad biasa - Utusan Malaysia

Dua anggota polis stabil, dipindah ke wad biasa

KEADAAN lubang yang digali untuk pemusnahan bom sebelum runtuh dan menyebabkan dua anggota polis cedera dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua anggota polis yang cedera akibat tertimbus semasa menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan, Jalan Tabah Taman Sri Lambak, di sini petang semalam dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kedua-dua anggota yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom telah dipindahkan ke wad biasa. 

Kedua-duanya, Koperal Abdul Halim, 39,  yang patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang paha kiri dan patah tulang rusuk  kiri merupakan anggota Unit Pemusnah Bom Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. 

Menurut Bahrin, dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, kedua-dua anggota terbabit sedang  melupuskan bom lama yang ditemukan oleh orang awam di lokasi kejadian. 

Namun, ketika kerja-kerja pelupusan dijalankan berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi pemusnahan bom sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit tertimbus dan cedera.

“Ketika operasi dilakukan, cuaca dalam keadaan hujan, pemusnahan bom tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum itu, Balai Polis Renggam menerima laporan penemuan sebutir bom jenis Aerial 500 lbs dipercayai digunakan sewaktu Perang Dunia Kedua, kira-kira pukul 8.50 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari IPK Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dikejarkan ke lokasi penemuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN