KLANG: Mahkamah Tinggi semalam mengenakan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM6,000 kepada Mohamed Shahriza Othman yang disabitkan bersalah bagi pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun pada 19 Julai lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Norliza Othman selepas memanggil kes tersebut untuk semakan dan meneliti kertas pertuduhan, fakta kes, eksibit yang diterima masuk di Mahkamah Majistret serta nota keterangan supaya satu semakan dijalankan.
Pada 26 Julai lalu, Mahkamah Majistret mengenakan hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya selepas peniaga goreng pisang itu mengaku bersalah atas pertuduhannya.
Hakim Norliza dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Tinggi dalam menjalankan kuasa semakan meneliti hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Majistret dan mempertimbangkan sama ada hukuman diberikan adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan responden.
Menurutnya, kesalahan dilakukan oleh responden (Mohamed Shahriza) adalah kesalahan culik selain perhatian diberikan kepada dua mangsa yang mana masing-masing berusia enam dan lapan tahun.
“Culik merupakan kesalahan yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila ia dilakukan terhadap kanak-kanak masih kecil walaupun tempoh masa kehilangan mereka adalah sekitar dua jam, namun ia bukan sesuatu yang boleh diremehkan.
“Apa yang lebih penting walaupun dalam tempoh sesingkat itu, trauma ditanggung oleh seorang ibu apabila mendapat tahu anak kecilnya diambil oleh orang yang tidak dikenali menaiki kereta tanpa diketahui arah dan tujuannya pasi merupakan satu perkara yang tidak boleh digambarkan diterjemahkan dengan perkataan,” katanya ketika membacakan penghakimannya.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Shahriza, 31, didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun daripada penjaga yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang.
Kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.









