PETALING JAYA: Malaysia terus mendapat sokongan dalam kalangan negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) apabila Brazil mengalu-alukan permohonan negara ini menyertai blok ekonomi itu.
Jaminan sokongan itu disuarakan Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira dalam lawatan dua hari ke Malaysia bermula kelmarin.
Wisma Putra, Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, perbincangan semasa lawatan itu tertumpu kepada lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan ke Brazil pada November ini serta aspirasi negara menyertai BRICS.
“Lawatan tersebut membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 1959.
“Brazil terus menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin,” kata kenyatan itu semalam.
Malaysia dan Brazil mencatat jumlah dagangan RM17.46 bilion pada 2023, iaitu peningkatan empat peratus berbanding RM16.86 bilion pada 2022.
Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya di Wisma Putra.
Kedua-dua pemimpin negara itu berbincang mengenai kerjasama sedia ada merentasi pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, industri halal, kesihatan, sains, teknologi dan inovasi, hubungan antara rakyat dan pembangunan keupayaan serta pertukaran lawatan di peringkat tertinggi.
Mereka turut bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan kerjasama menerusi forum serantau dan pelbagai hala.
“Kedua-dua menteri turut menyentuh secara ringkas tentang perkembangan antarabangsa termasuk situasi di Gaza dan konflik Russia-Ukraine,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, keanggotaan Malaysia dalam BRICS berpotensi ‘merumitkan’ hubungan dengan negara kuasa besar seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi jaminan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS tidak akan menyebabkan negara berdepan ancaman negara kuasa besar, ahli akademik tidak menolak kemungkinan itu jika tiada dasar efektif memastikan Malaysia berbaik-baik dengan kesemua blok ekonomi. – UTUSAN










