KOTA TINGGI: Sarjan Mohd. Hasif Roslan, 38, yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam tragedi berdarah serangan Balai Polis Ulu Tiram, Mei lalu mengakui kesan dua tembakan itu masih terasa bisanya.
Malah, insiden yang menggemparkan negara itu sukar dilupakan, namun dia menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan dan berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ada masanya, saya terkenang peristiwa yang berlaku itu, namun dorongan dan sokongan keluarga dan rakan sekerja berjaya membangkitkan semangat saya untuk bersama PDRM. Kesan tembakan yang menembusi bahagian bahu dan pinggul itu masih terasa kebas dan bisanya, bila nak sarung pakaian atau bergerak kadang-kadang terasa sakitnya.
“Namun, saya kuatkan semangat melawan keadaan itu, kini keadaan kesihatan saya sudah pulih 75 peratus dan sudah mampu bertugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin dan turut dihadiri ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Apandi Senin.
Dalam kejadian 17 Mei lalu, Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said terbunuh selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd. Hasif cedera ditembak.
Bercerita lanjut, Mohd. Hasif kini masih menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Kota Tinggi.
Dia yang kini baru seminggu bertugas di IPD Kota Tinggi mengakui sering terkenang dua anak buahnya, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq, apatah lagi hubungan mereka amat rapat ketika bertugas di Balai Polis Ulu Tiram yang disifatkan seperti adik beradik.
“Mereka berdua merupakan anak buah saya yang sangat baik, hubungan kami cukup akrab dan melakukan aktiviti bersama-sama. Saya tidak mahu pemergian mereka disia-siakan, itu juga memberi kekuatan untuk terus bersama Sang Saka Biru,” katanya.
Sementara itu, Meor Chek Hussien berkata, pihaknya yang melancarkan tabung kutipan bagi mangsa serangan di Balai Ulu Tiram berjaya mengumpul RM34,000 hasil sumbangan daripada orang awam, pihak swasta, korporat serta ahli Respa.
Katanya, masing-masing sebanyak RM13,000 disumbangkan kepada dua keluarga anggota yang terkorban, manakala RM8,000 kepada Mohd. Hasif. – UTUSAN










