KLANG: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan perbicaraan kes seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil tahun lalu akan dijalankan selama 15 hari bermula 23 Februari 2026.
Timbalan Pendaftar, Mohd. Hirman Ab. Raub memutuskan demikian selepas menerima laporan psikiatri tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, daripada pihak pendakwaan.
“Justeru itu, mahkamah menetapkan minggu pertama perbicaraan kes itu pada 23 hingga 27 Februari 2026. Ia kemudian diikuti minggu kedua bermula 9 hingga 13 Mac, manakala 30 Mac hingga 3 April tahun sama bagi minggu terakhir perbicaraan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Mohd. Radzuan memaklumkan laporan psikiatri daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak itu sudah tersedia.
“Kami sudah memperoleh laporan itu dan memohon tarikh bicara ditetapkan. Jika boleh, ia dilakukan lebih cepat iaitu dua minggu kerana kes itu menarik perhatian semua. Kami dijangka akan memanggil 35 hingga 40 saksi pendakwaan,” katanya.
Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan dan bersetuju dengan tarikh perbicaraan kes itu.
Mahkamah kemudian turut menetapkan tarikh pengurusan kes pada 7 Oktober depan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun yang dilakukan dekat Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei tahun lalu.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – UTUSAN









