WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengarahkan penghantaran sebuah kapal selam dilengkapi berpandu peluru ke Asia Barat selain mendesak sebuah lagi kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln untuk belayar ke wilayah berkenaan dengan lebih pantas.
Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Negara, Lloyd Austin selepas berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant susulan kemungkinan serangan berskala besar Iran terhadap Tel Aviv, minggu ini.
Walaupun kapal selam USS Georgia yang bertenaga nuklear kini berada di Laut Mediterranean sejak bulan lalu, namun arahan penempatan kapal selam oleh Pentagon amat jarang dikeluarkan.
Jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Pat Ryder dalam satu kenyataan, mengesahkan arahan berkenaan dengan menyatakan AS akan mempertahankan Israel dengan keupayaan tenteranya di Asia Barat di tengah-tengah ketegangan di rantau tersebut.
Dalam arahan terbaharu itu, kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln yang telah berada di Asia Pasifik, diarahkan ke Asia Barat untuk menggantikan kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt yang dijadualkan pulang tidak lama lagi.
Masih tidak jelas bilakah kapal USS Abraham Lincoln boleh tiba di perairan Asia Barat. Kapal berkenaan turut membawa jet tempur F-35 dan F/A-18.
Sumber risikan Israel percaya bahawa Iran telah memutuskan untuk melancarkan serangan terhadap Israel dalam masa beberapa hari lagi sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran.
Menurut wartawan agensi berita atas talian Axios, Barak Ravid yang memetik dua sumber, serangan tersebut mungkin dilancarkan sebelum Khamis ini, tarikh yang ditetapkan oleh AS, Mesir, dan Qatar untuk rundingan gencatan senjata baharu Gaza.- AGENSI










