Anwar: Saya tidak dengar apa-apa

Anwar: Saya tidak dengar apa-apa

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tidak mendengar sebarang makluman mengenai rombakan Kabinet membabitkan Jemaah Menteri dalam masa terdekat seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan semalam.

Sebaliknya, beliau berkata, perkembangan terbaharu membabitkan laporan rombakan Kabinet itu baru sahaja dimaklumkan kepadanya.

“Itulah saya baru diberitahu. Saya tak dengar lagi, siapa yang hendak tolong reshuffle (rombakan), saya tak dengar…seriously (betul ini),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Terdahulu, sebuah portal dwi bahasa tempatan melaporkan kerajaan akan melaksanakan satu lagi rombakan Kabinet selepas setahun rombakan pertama dilakukan tahun lalu.

Memetik laporan portal tersebut, seorang Menteri Besar turut akan dilantik memegang jawatan Menteri dalam rombakan yang didakwa tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya berhubung perkara itu, Anwar secara berseloroh berkata, rombakan tersebut mungkin akan dilaksanakan selepas pilihan raya.

Perdana Menteri juga sempat bertanya kepada pemberita berhubung dakwaan tersebut dan siapakah sumber yang memaklumkan namun berdasarkan laporan berita portal berkenaan ia memetik sumber tidak dinamakan.

“Kalau (sumber) tidak dinamakan, jangan percaya dong,” seloroh Perdana Menteri sebelum meninggalkan majlis.

Kali pertama rombakan Kabinet di bawah pentadbiran Anwar dilaksanakan pada Disember tahun lalu membabitkan beberapa portfolio.

Dalam rombakan itu, V. Sivakumar daripada DAP digugurkan daripada jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia dan digantikan oleh Steven Sim manakala Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kembali sebagai Menteri Kesihatan.

Turut berada dalam Kabinet adalah Datuk Seri Johari Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sementara beberapa menteri lain bertukar portfolio.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan supaya badan berasaskan dana awam tidak dijadikan seperti syarikat swasta yang melihat kepentingan perniagaan, ahli lembaga dan pengurusannya sahaja.

Sebaliknya, beliau menegaskan, badan berasaskan dana awam perlu memastikan pelaksanaan program dirangka tanpa ada keterlanjuran dalam memberikan fokusnya.

“Kita harus terima bahawa badan seperti MRANTI (Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation), malah seluruh keluarga MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) adalah badan yang diasaskan dengan dana awam.

“Oleh demikian, dalam memastikan pelaksanaan program, kita nak pastikan bahawa jangan ada keterlanjuran dalam memberikan fokus.

“(Pada masa sama) jangan jadikan badan-badan ini sebagai badan swasta yang kadang-kadang melihat bukan saja dari kepentingan perniagaan tetapi kepentingan ahli lembaganya dan pengurusannya,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, martabat negara khususnya dalam aspek inovasi hanya boleh diangkat dengan penekanan tatakelola yang baik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pengurusan badan berasaskan dana awam tidak harus terikat dengan prosedur dan kerangka tetap, sebaliknya bersedia membuka lembaran baharu dan menerjah ke bidang kepakaran.

Dalam konteks inovasi, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya Malaysia meletakkan sasaran baharu dengan bersaing bersama negara luar dalam pelbagai aspek berbanding hanya memperbaiki prestasi lalu.

Beliau berkata, negara tidak akan dapat merekodkan pencapaian membanggakan jika hanya memperbaiki prestasi lalu sebaliknya perlu melihat untuk setanding negara luar.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata, kedudukan Malaysia pada tangga 36 daripada 132 negara dalam laporan Global Innovation Index (GII) 2023, masih tidak membanggakan sebaliknya perlu memperbaiki kedudukan pada masa akan datang.

Sementara itu, kerajaan akan menyiapkan kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara bagi menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa pada masa depan.

Sambil menerima baik pencapaian atlet negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, Anwar berkata, inisiatif itu adalah bagi meningkatkan pencapaian selari dengan tumpuan negara melalui sukan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia dan peminat sukan khususnya diminta supaya tidak mengeluh dengan pencapaian wakil negara kerana mereka sudah berusaha sebaik mungkin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN