Anggota SAR menyelam dalam air kumbahan cari mangsa - Utusan Malaysia

Anggota SAR menyelam dalam air kumbahan cari mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anggota pasukan penyelamat terpaksa menyelam dalam air kumbahan dengan penglihatan terhad (zero visibility) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus di Masjid India di sini.

Pegawai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Penguasa Kanan Bomba I, Alimaddia Bukri Berkata, cuaca hujan turut menjadikan sitiuasi berisiko terhadap pasukan penyelamat dalam operasi itu.

“Kami terpaksa membuat selaman di dalam air kumbahan, arus deras dengan penglihatan terhad serta akses kecil menyukarkan pergerakan dan pencarian mangsa.

“Masa turun ke bawah lubang memang takut, tapi ini memang tugas anggota bomba, kena lawan perasaan takut dan berserah kepadaNya.

“Kami berbincang dan mendapatkan nasihat daripada pakar yang berkaitan, sebelum membuat apa-apa keputusan dalam operasi ini,” katanya yang berkongsi video berkenaan dalam aplikasi TikTok.

Menurutnya, operasi SAR dibuat tidak mengira bangsa, agama, usia, kaya atau miskin dan kewarganegaraan.

“Kami akan buat apa sahaja, sedaya upaya kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan atau malapetaka,” katanya.

Alimaddia berkata, beliau berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan pasukan penyelamat dalam operasi itu.

Operasi tersebut membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).

Jumaat lalu, media melaporkan kejadian seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×