Amanah Johor akur, Aminolhuda sedia berjumpa Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Amanah Johor akur, Aminolhuda sedia berjumpa Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor akur dengan teguran Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu yang melarang pemimpin dan ahlinya menggunakan media untuk melobi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung kerusi DUN Mahkota yang dikosongkan baru-baru ini.

“Insya-Allah, saya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Mohamad dilaporkan mengingatkan ahli Amanah supaya berhenti membincangkan isu tuntutan kerusi DUN Mahkota menerusi media dan perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya beliau menggesa anggota parti Kerajaan Perpaduan menumpukan usaha merampas kerusi Nenggiri dalam PRK pada 17 Ogos ini berbanding mendapatkan kerusi di DUN Mahkota.

Semalam, Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain imendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding di PRK DUN Mahkota kerana parti itu pernah memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, Amanah Johor sentiasa berkempen di semua PRK yang ditandingi komponen PH seperti di DUN Kuala Kubu Baru dan DUN Sungai Bakap selain membantu di PRK Parlimen Kemaman dan DUN Pelangai yang ditandingi BN.

“Ini membuktikan bahawa Amanah dan PH Johor sentiasa membantu mana-mana calon daripada parti komponen dan rakan dalam kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Pada PRN Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah yang mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan meraih 16,611 undi menewaskan calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Warisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×