Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda segera

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda segera

JENAYAH kewangan siber semakin meningkat sejajar dengan perkembangan teknologi digital dan penggunaan internet yang meluas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 antara beberapa akta yang perlu dipinda segera bagi menangani isu keselamatan siber dan data peribadi.

Antara aspek yang akan diteliti termasuk isu teknikal dan nilai denda yang mungkin dikenakan atas kesalahan pelanggaran yang termaktub dalam akta berkenaan.

Penganalisis politik Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah antara akta yang lapuk dan tidak lagi sesuai untuk membanteras jenayah semasa seperti keselamatan siber dan perlindungan data peribadi.

Menurut beliau, Akta Kerja 1955 juga memerlukan pembaharuan untuk melindungi pekerja dalam ekonomi gig dan pekerja jarak jauh, termasuk aspek had masa kerja dan perlindungan keselamatan sosial.

CABARAN

“Selain itu, Akta Hak Cipta 1987 juga memerlukan pindaan untuk menangani cabaran hak cipta dalam era digital, termasuk perlindungan karya dalam talian dan penggunaan adil dalam konteks digital,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu beliau sudah memanggil Ketua Setiausaha (KSU) dan penasihat undang-undang setiap kementerian bagi melihat semula akta sedia ada yang mungkin tidak sesuai pada masa ini.

Menurut Johari, langkah itu perlu bagi membincangkan undang-undang yang tidak lagi sesuai atau sesuai dengan era digital dan perlu ditambah baik agar seiring dengan peredaran masa.

Mengulas lanjut, Mohd. Afifi berkata, akta ketara yang juga perlu diberi perhatian adalah Akta Hasutan 1948 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 di bawah Kementerian Dalam Negeri kerana akta tersebut sering dikritik apabila dianggap terlalu luas dan berpotensi membataskan hak asasi.

“Di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 mungkin memerlukan pengemaskinian untuk menangani cabaran e-dagang,” katanya.

Selain itu, Mohd. Afifi berkata, perbincangan mengenai peningkatan denda pada masa ini boleh dianggap tepat pada masanya kerana ia langkah pencegahan yang lebih berkesan untuk kesalahan serius dan berpotensi membantu mengurangkan kes-kes yang mencemarkan nama negara.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati untuk memastikan keseimbangan dan keadilan.

“Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia pada tahun 2023 adalah 47 per 100, menduduki tempat ke-61 daripada 180 negara. Laporan Bank Dunia 2023 pula menunjukkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-12 dalam indeks ‘Ease of Doing Business’.

“Justeru, peningkatan denda untuk kesalahan rasuah, pengemaskinian undang-undang perniagaan dan peningkatan penguatkuasaan boleh membantu meningkatkan kedudukan negara.

“Usaha untuk mengkaji semula dan mengemaskini undang-undang yang lapuk adalah langkah yang penting dan tepat pada masanya, tetapi perlu dilakukan dengan teliti, mengambil kira perkembangan teknologi, perubahan sosial, dan keperluan semasa negara,” katanya.

INFORMATIK

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini berkata, akta tersebut mempunyai beberapa kekurangan dan memerlukan penelitian semula bagi menangani jenayah siber.

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak sepenuhnya lapuk tetapi ia mempunyai sedikit kekurangan dan saya merasakan akta itu memerlukan pindaan serta penyesuaian untuk lebih efektif dalam menghadapi dan menangani cabaran keselamatan siber yang semakin sofisikated.

“Pada masa akta ini digubal, teknologi sebagaimana yang ada pada masa kini mungkin tidak wujud atau tidak meluas pada ketika itu. Namun kepesatan teknologi baru yang berkembang pesat sejak lebih sedekad lalu menyebabkan akta ini mungkin tidak mampu untuk mengatasi teknologi-teknologi ini.

“Pada masa yang sama, kompleksiti jenayah siber moden yang pelbagai metod dan platform ini menyukarkan usaha pihak-pihak tertentu untuk membendung isu ini secara berkesan,” jelasnya.

Tambahnya, Rang Undang Undang Keselamatan Siber 2024 boleh menjadi komplementari kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam membina kerangka kerja keselamatan siber yang lebih kukuh dan responsif terhadap ancaman keselamatan siber moden.

“Melalui kedua-dua ini, asas perundangan dan peraturan serta langkah-langkah khusus dalam menangani ancaman keselamatan siber dapat dilaksanakan dan boleh menjadi lebih berkesan bersesuaian dengan keadaan semasa, serta mengambilkira kepesatan teknologi pada masa kini dan akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN