Abdul Rahim Yasin dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 - Utusan Malaysia

Abdul Rahim Yasin dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22

BDUL Rahim Yassin menandatangani ikrar pada istiadat pemasyhuran beliau sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 yang bergelar Dato' Sedia Raja di Balai Undang Luak Rembau, Rembau pagi tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bekas guru, Abdul Rahim Yassin, 68, dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22 pada istiadat pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Mengadap, Balai Undang Luak Rembau di sini pagi tadi.

Beliau yang sebelum merupakan Orang Besar Undang Yang Empat bergelar Dato’ Shahbandar dalam institusi Undang Luak Rembau dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau yang baharu dengan gelaran Dato’ Sedia Raja.

Istiadat berkenaan dilaksanakan susulan kekosongan jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia di kediaman rasminya pada 15 Mei lalu.

Kali terakhir adat atau majlis berkenaan diadakan pada 1998 ketika lantikan Allahyarham Muhamad Sharip.

Selepas menerima keris pesaka dari Datuk Perba, Abd. Razak Yasin, Abdul Rahim berterima kasih kerana istiadat pemasyhuran itu dapat berlangsung dalam keadaan lancar.

“Tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan Datuk Perba, Abd. Razak Yasin kerana telah melaksanakan proses pemilihan mengikut proses pemilihan pesaka Undang Luak Rembau.

“Berkenaan dengan kemelut yang berlaku sepanjang proses pemilihan ini, kami memberi jaminan perkara ini akan diambil tindakan sewajarnya.

“Terima kasih kepada pihak pihak yang memberi pandangan tentang kemelut ini, supaya satu tindakan yang drastik diambil kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Abdul Rahim berpengalaman bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur dan di Negeri Sembilan selain bertugas sebagai ketua bidang serta ketua unit di Jabatan Pendidikan.

Jawatan terakhir dalam perkhidmatan beliau ialah sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Rembau sebelum bersara pada Oktober 2014.

Beliau turut pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Daerah Rembau pada tahun 2016 selain Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau pada tahun 2015.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN