PETALING JAYA: Kira-kira 28.2 peratus atau 6.7 juta daripada hampir 23 juta individu golongan dewasa di negara ini berisiko menghidap penyakit hati berlemak berkaitan kegagalan fungsi metabolik atau dikenali sebagai MAFLD.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan, jumlah itu merangkumi tiga daripada 10 individu dewasa mengalami masalah kesihatan tersebut.
Berdasarkan tinjauan itu, golongan lelaki lebih cenderung menghidap penyakit hati berlemak dengan peratusan sebanyak 32 peratus berbanding hanya 25 peratus bagi golongan wanita.
Hati berlemak atau MAFLD adalah keadaan di mana lemak berkumpul di hati tanpa disebabkan pengambilan alkohol dan sering berkaitan dengan sindrom metabolik seperti obesiti, diabetes dan dislipidemia.
Malah, golongan individu dewasa yang berat badannya normal dan berlebihan juga dikesan berpotensi bahaya menghidap penyakit hati berlemak iaitu sebanyak 23 peratus bagi dewasa yang mengalami obesiti.
Kadar MAFLD yang dicatatkan di peringkat global adalah sebanyak 25 peratus seterusnya penyumbang utama kepada penyakit hati yang kronik.
Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, peningkatan prevalensi MAFLD di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor utama yang boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan lain.
Menurut beliau, komplikasi kesihatan tersebut termasuk pemakanan tidak sihat, peningkatan berat badan, merokok, diabetes yang menyebabkan resistensi insulin, umur semakin meningkat, pengambilan alkohol, peningkatan lemak trigliserida dan faktor genetik.
“MAFLD ini bukan sahaja berisiko terhadap individu mempunyai berat berlebihan malah, individu yang berat badannya ideal atau kurus juga dikesan berpotensi menghidap penyakit tersebut.
“Individu obesiti lebih berisiko menghidap MAFLD. Risiko ini semakin tinggi akibat pertambahan berat badan kerana resistensi insulin yang meningkat menyebabkan lemak terperangkap dalam sel hati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dr. Sharifa Ezat berkata, golongan lelaki lebih cenderung menghidap penyakit hati berlemak berbanding wanita kerana mereka lebih terdedah kepada minuman alkohol dan merokok.
“Merokok dan pengambilan alkohol merosakkan organ-organ sistemik tubuh, terutama hati. Kedua-duanya boleh menyebabkan fibrosis hati, inflamasi kronik, dan berpotensi membawa kepada pembentukan tumor serta kanser hati.
“Paras kolesterol tinggi, kencing manis dan MAFLD mempunyai hubungan yang rapat dimana ketiga-tiga keadaan ini saling berkaitan dan boleh memburukkan lagi kesihatan hati,” jelasnya.
Selain itu, Dr.Sharifa Ezat berkata, peningkatan masalah berat badan berlebihan, kencing manis atau kerentanan insulin, tahap kolesterol atau trigliserida yang tinggi dalam darah bukan sahaja menjejaskan kesihatan secara umum tetapi turut mempengaruhi kepada peningkatan prevalensi MAFLD di Malaysia.
Jelas beliau, kesan sekiranya MAFLD tidak dirawat pada peringkat awal, ia boleh menyebabkan parut pada hati (fibrosis), yang boleh membawa kepada kanser hati (karsinoma hepatoselular) dan kegagalan fungsi hati sekiranya berlarutan.
“Hati berlemak boleh menyebabkan kerosakan yang mengakibatkan keradangan hati (steatohepatitis bukan alkohol) dan kerosakan ini menyebabkan hati mudah mengalami keradangan kronik yang boleh berkembang menjadi tumor dan akhirnya kanser,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, terdapat dua faktor mengapa lelaki lebih cenderung menghidap MAFLD berbanding wanita.
“Terdapat hormon estrogen pada wanita yang memberikan perlindungan serta bahan atau agen reseptor FPR2 yang mengurangkan keadaan inflamasi dan keradangan sel.
“Obesiti membawa risiko yang lebih tinggi berbanding berat badan normal. Kolesterol dan kencing manis boleh menyebabkan gangguan metabolisme glukosa dan lemak, yang mengakibatkan pengumpulan lemak dalam hati,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Zainal berkata, penghidap MAFLD biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.
Menurutnya, kebanyakan simptom hanya dikesan apabila penyakit ini sudah berada di tahap lanjutan, di mana hati telah mengalami komplikasi serius dan kegagalan fungsi. Jika dikesan awal, ia boleh diurus dengan baik dan mungkin kembali normal.
“Namun, kebanyakan kes tidak dikesan sehingga gejala seperti jaundis, sakit abdomen, penurunan berat badan, dan hilang selera makan muncul. Pada tahap lanjutan, MAFLD boleh berkembang menjadi kanser hati yang sukar diubati,” katanya. – UTUSAN










