500 hari konflik di Sudan tanpa perhatian global

500 hari konflik di Sudan tanpa perhatian global

SEORANG kanak-kanak tidur di atas timbunan barang yang dibawa ketika berpindah ke Sudan Selatan, susulan perang yang tercetus di Sudan pada April 2023.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Hampir 500 hari keganasan dan konflik menyebabkan Sudan berada dalam cengkaman krisis kemanusiaan yang dikatakan antara terbesar di dunia.

Dianggarkan 52,000 orang terbunuh dan cedera, manakala puluhan juta orang kehilangan tempat tinggal sejak April 2023.

Ia tercetus susulan perebutan kuasa antara tentera Sudan yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera yang dipimpin oleh bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Dagalo.

Walaupun skala krisis akibat perang di Sudan dianggap dahsyat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penganalisis melihat perang di negara itu tidak mendapat perhatian global seperti konflik lain, terutama oleh Barat.

Dengan kadar kematian yang tinggi dan skala krisis kemanusiaan terbesar, kesedaran global terhadap konflik di Sudan masih rendah.

Angka penderitaan manusia di negara itu seolah-olah hampir tidak mendapat perhatian media, berbanding konflik semasa yang berlaku di Ukraine dan Gaza.

CAMPUR TANGAN BARAT

Pakar dalam hal ehwal Afrika, Fracois Sennesael berpandangan, meskipun ketegangan konflik di Sudan sangat tinggi, bagi Barat ia tidak sepenting geopolitik seperti Ukraine atau Gaza.

“Ukraine ada kepentingan untuk keselamatan Eropah, Sudan tiada. Ini sahaja menjelaskan kenapa Ukraine menerima semua perhatian Barat dan bukan Sudan, dan sama juga dengan Israel,” katanya.

Selain itu, pengaruh PBB yang semakin berkurang dalam hal ehwal global dan keengganan Barat campur tangan secara langsung dalam konflik dalaman negara lain, turut menyebabkan Sudan kurang menjadi perhatian.

Sennesael berkata, kerajaan Barat sangat berhati-hati dan berusaha untuk memperbaiki konflik Sudan tanpa terlibat secara langsung.

“Barat sedang mengejar pendekatan yang dilihat di Sudan Selatan atau Ethiopia, adalah usaha mendapatkan perjanjian perkongsian kuasa yang ditandatangani antara elit berperang, tanpa perlu mengerahkan tentera atau wang bagi mengekalkan keamanan di Afrika,” katanya.

Apa yang dialami Sudan pada masa ini adalah situasi yang paling kompleks sejak kemerdekaannya.

Sudan terbahagi kepada dua dan paling hampir menyerupai Libya, dua kerajaan yang menuntut kedaulatannya dan tiada seorang pun daripada mereka yang benar-benar mengawal seluruh wilayah.

RUNDINGAN DAMAI GOYAH

Pusingan baharu rundingan disokong oleh Amerika Syarikat (AS) yang bermula di Geneva pada 14 Julai diteruskan minggu ini.

Walaupun tentera Sudan tidak mengambil bahagian, terdapat wakil dari RSF, PBB, Kesatuan Afrika, Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), AS dan Switzerland.

Pusingan rundingan sebelumnya yang diketuai Arab Saudi dan AS sebahagian besarnya tidak membuahkan hasil.

Justeru, Sennesael membayangkan kejayaan rundingan kali ini juga amat rendah, memandangkan perbincangan berlaku hanya melibatkan satu pihak.

“Walaupun gencatan senjata dicapai, tanpa langkah ketat untuk memastikan syarat gencatan senjata dipenuhi, ia akan menjadi sia-sia.

“Sebagai contoh sebelum ini, apabila RSF tidak berperang dengan tentera, mereka beralih kepada merompak dan menyasarkan orang awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN