50 resort, chalet di NS beroperasi tanpa kebenaran merancang - Utusan Malaysia

50 resort, chalet di NS beroperasi tanpa kebenaran merancang

J. ARUL Kumar (tiga dari kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemutihan Pembinaan Resort/Chalet di Kawasan Berisiko Yang Beroperasi Tanpa Kebenaran Merancang dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) di Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terdapat kira-kira 50 buah resort atau chalet di Negeri Sembilan yang dikenalpasti beroperasi tanpa kebenaran merancang di kawasan yang berisiko seperti di bukit dan lereng bukit.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J.Arul Kumar berkata, keadaan tersebut menyebabkan risiko kepada orang ramai yang berkunjung dan menginap serta melakukan aktiviti di kawasan tersebut.

Kata beliau, justeru kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju untuk membuat pemutihan terhadap semua resort atau chalet yang beroperasi tanpa kebenaran tersebut bagi memastikan semua tempat penginapan selamat dan bebas daripada sebarang risiko namun respon diterima sangat tidak memuaskan.

Katanya, ia termasuklah di kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang mempunyai sebanyak 40 resort beroperasi tanpa kebenaran tersebut.

“MBS sejak dua tahun lepas telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu dalam proses pemutihan tersebut. MBS dan kerajaan Negeri Sembilan mengambil inisiatif ini adalah untuk membantu para pengusaha atau operator kawasan penginapan tersebut agar kawasan mereka sentiasa selamat.

“Ia juga bagi memastikan semua bangunan tersebut adalah tidak berisiko dan tidak mengundang sebarang insiden yang tidak diingini. Tetapi respon daripada pengusaha atau operator resort dan chalet yang berada dalam kawasan berisiko adalah sangat tidak memuaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) kepada semua operator atau pengusaha resort atau chalet yang dikenal pasti berada dalam kawasan berisiko bermula sekarang dan menghendaki mengemukakan permohonan kepada PBT masing-masing.

” Jika tidak mengemukakan permohonan dalam masa yang ditetapkan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh PBT. Tarikh untuk memulakan penguatkuasaan ke atas resort atau chalet yang beroperasi tanpa kebenaran tersebut akan dimuktamadkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

” Ia adalah perkara sama seperti yang pernah dilakukan keatas tapak-tapak perkhemahan di Negeri Sembilan di mana tapak perkhemahan yang tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada PBT sebelum 31 Disember 2024 akan diambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyita premis tersebut,” katanya lagi.

Arul Kumar berkata, kerajaan negeri perlu memastikan semua kawasan tersebut selamat untuk diduduki oleh semua pengunjung kerana tindakan mempromosi dan penawaran perkhidmatan dilakukan secara terbuka.

“Dalam keadaan tersebut kerajaan negeri dan PBT mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tempat penginapan juga adalah selamat untuk semua pengunjung.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN