BAGAN DATUK: Penduduk memohon kerajaan memperbaiki atau membina titi baharu untuk laluan keluar masuk di Kampung Bagan Pasir Laut di sini kerana titi kayu sedia ada sudah reput.
Banyak struktur titi lama seperti kayu patah dan keadaan itu membahayakan kira-kira 200 penduduk yang menggunakan laluan tersebut.
Chen Lan, 62, berkata, masalah itu sudah lama dan penduduk tiada pilihan selain terus menggunakan laluan itu setiap hari.
“Usia titi kayu ini 25 tahun, sudah tentu ia reput. Keadaannya yang reput mengundang bahaya kepada kami.
“Saya sendiri sudah beberapa kali terjatuh dan cedera kerana terpijak kayu reput dan patah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Chiam Soo Seong, 53, berkata, titi kayu yang reput perlu ditukar kerana penduduk berdepan dengan risiko keselamatan setiap kali menggunakan laluan itu.
Katanya, sebelum ini penduduk berusaha sendiri dengan menukar bahagian yang rosak tetapi disebabkan kosnya semakin meningkat selain kos upah, penduduk tidak mampu memperbaikinya.
“Dulu bolehlah kami usaha memperbaikinya sendiri kerana hasil laut banyak, tapi sekarang hasil tangkapan tidak seperti dahulu disebabkan laut bergelora.
“Kami tiada pilihan selain mengharapkan kerajaan membantu kami supaya tiada lagi kejadian penduduk terpijak kayu reput dan terjatuh,” katanya. – UTUSAN









