Warga SMK Bekok bimbang hakisan cerun makin serius

Warga SMK Bekok bimbang hakisan cerun makin serius

TAN CHONG (tengah) meninjau hakisan cerun SMK Bekok yang menjadi kebimbangan warga sekolah sejak tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kira-kira 500 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekok, di sini bimbang dengan hakisan tebing cerun apabila berlaku hujan lebat sejak lebih setahun lalu.

Mereka mendakwa, hakisan tebing kira-kira 100 meter mengancam keselamatan apabila susur jalan yang menjadi laluan utama berhampiran padang sekolah terbabit semakin terhakis.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Omar Ibrahim, 51, berkata, masalah itu berlaku sejak 1 Mac tahun lalu ketika musim hujan dan lebih berbahaya jika berlaku runtuhan besar terutamanya pada waktu persekolahan.

“Sepanjang pemerhatian kami, jarak tanah yang terhakis antara 10 hingga 15 meter sejak lebih setahun lalu. Kini hakisannya semakin ketara dan membimbangkan.

“Hakisan itu menyebabkan tebing cerun semakin runtuh, iaitu antara lima hingga lapan meter, sekali gus boleh mengancam keselamatan warga sekolah serta kenderaan di kawasan parkir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi mengelakkan risiko kecelakaan, warga sekolah kini dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif untuk aktiviti padang dengan menggunakan laluan lain di luar kawasan sekolah, namun tetap berisiko kerana terpaksa menyusuri tepi jalan raya yang sibuk.

“Setakat ini belum ada kemalangan berlaku di tebing cerun berkenaan akibat hakisan, namun kita berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian segera sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong berkata, aduan tentang perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihaknya.

“Isu hakisan cerun ini pernah saya bawa ke perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 13 Mei lalu. Namun kerja-kerja penyelenggaraan sekolah merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

“Saya juga sudah turun padang melihat masalah terbabit dan akan menyampaikan surat kepada Kementerian Pendidikan dan Ahli Parlimen Labis dengan harapan tindakan segera dapat dilakukan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN