JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas lemas akibat terjatuh dalam sungai ketika memancing di Kampung Sri Purnama, Terbau ,di sini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 3.43 petang semalam dan seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Menurut saksi, mangsa tergelincir dalam sungai semasa memancing. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian menemukan mayat mangsa yang berusia 68 tahun pukul 3.51 petang.
“Warga emas berkenaan ditemukan terapung di tebing sungai tidak jauh dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Noor Azhan berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 4.15 petang. – UTUSAN










