Undang-undang kecil tambah baik perkhidmatan beca Melaka

Undang-undang kecil tambah baik perkhidmatan beca Melaka

PERKHIDMATAN beca di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Undang-undang kecil menambah baik perkhidmatan beca yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini bertujuan menyelaraskan pelbagai isu berkaitan ikon pelancongan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penambahbaikan itu penting agar pengusaha beca khususnya di Banda Hilir di sini, terus relevan sebagai duta pelancongan.

Menurut beliau, antara perkara yang ditambah baik seperti menempatkan beberapa stesen beca di kawasan tumpuan pelancong dan pelarasan caj perkhidmatan.

“Selepas ini akan ada beberapa stesen beca berbanding hanya satu stesen ketika ini di hadapan bangunan Madonna. Mereka dipecahkan mengikut kawasan tumpuan supaya para pelancong lebih mudah mendapatkan perkhidmatan beca.

“Kita juga mendapat keluhan daripada pengunjung yang mendakwa ada bayaran tertentu yang tidak masuk akal seperti caj mengambil gambar. Saya tidak kata dakwaan ini betul atau tidak tetapi pihak kerajaan negeri akan pastikan isu ini diselaraskan supaya memberikan kebaikan kepada semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Sementara itu, mengenai cadangan perkhidmatan beca di kawasan tumpuan lain, Rais berkata, sebarang keputusan menempatkannya di sesuatu lokasi pelancongan perlu mengambil kira faktor permintaan.

Katanya, pihak berwajib perlu menggandakan aktiviti promosi kerana terdapat banyak lagi produk pelancongan di kawasan lain seperti Alor Gajah, Masjid Tanah dan Hang Tuah Jaya.

“Mungkin selepas kita cuba lihat jika ada pengayuh beca yang berminat untuk beroperasi di hadapan Zoo Melaka, Taman Botanikal dan sebagainya. Bagaimanapun, ingin saya tegaskan kita mesti bersama-sama menjaga peraturan supaya tidak timbul pergeseran yang tidak sihat jika kerajaan negeri membenarkan operasi beca,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×