SEREMBAN: UMNO tidak mampu untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) jika memilih untuk bergerak solo dengan mengambil keadaan dan situasi politik ketika ini.
Bahkan menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias, perkara serupa bukan hanya dihadapi oleh UMNO malah parti-parti politik lain juga.
“Pada pendapat saya, tidak ada parti yang mampu bergerak secara solo untuk menang dalam PRU termasuk juga UMNO, kalau UMNO bergerak secara solo, kita akan kalah, mengikut kepada suasana dan keadaan politik sekarang.
“Kita perlukan rakan politik dan kerjasama dengan rakan parti yang lain untuk berjaya dalam setiap pilihan raya. Kejayaan ini adalah asas kepada perjuangan UMNO iaitu untuk membela dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat, Melayu, Cina, India dan mempertahankan agama Islam.
“Untuk berjuang dan berkhidmat kepada rakyat, UMNO mesti berada dalam sistem kerajaan iaitu mempunyai kuasa supaya dapat menambah baik dan melipat ganda politik khidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jalaluddin yang merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dalam pada itu memberitahu, persefahaman yang dibentuk di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menerusi kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan kini juga semakin baik.
Jelasnya, ia termasuk di peringkat kerajaan Negeri Sembilan di mana BN mempunyai 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membentuk kerajaan negeri bersama PH yang mempunyai 17 kerusi.
“Sudah ada persefahaman, cuma dalam persefahaman itu tentu ada dua tiga perkara yang perlu diperbaiki. Persefahaman itu juga mesti dirasai oleh akar umbi bukan dalam kalangan pemimpin sahaja.
“Jika di peringkat akar umbi tidak faham persefahaman ini maka akan memberi kesan sewaktu pilihan raya nanti, sebab itu kita mesti bersiap sedia untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau sementara itu, tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran atau pertambahan kerusi DUN di antara BN dan PH bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.-UTUSAN.










