UMNO perlu segera kenal pasti calon PRU-16, turun bekerja dekati rakyat - Johari - Utusan Malaysia

UMNO perlu segera kenal pasti calon PRU-16, turun bekerja dekati rakyat – Johari

JOHARI Abdul Ghani (kanan) diiringi Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh (dua dari kanan) memukul gong sebagai simbolik merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: UMNO perlu segera mengenalpasti calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang bagi membentuk watak dan pengalaman sebagai pemimpin masa depan yang berwibawa serta diterima masyarakat di kawasan ditandingi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, calon dipilih tersebut perlu segera turun padang melakukan gerak kerja agar dikenali masyarakat setempat.

“Setiap bahagian ada Parlimen, ada Dewan Undangan Negeri (DUN), kita banyak sudah kalah, bila kalah kita tak boleh tunggu hari pencalonan, dua hari sebelum baru hendak cari calon.

“Kita mesti mula memikirkan calon kerana calon dikenalpasti kena buat kerja kepada masyarakat, tiga tahun lagi, kita kena buat kerja dalam masyarakat sebagai pembangkang kepada wakil rakyat yang tidak buat kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.

Johari berkata, calon yang dipilih perlu memenuhi kriteria yang bersesuaian berdasarkan kepada kawasan terbabit agar dapat menawan hati pengundi dan membawa kemenangan kepada UMNO dan juga Barisan Nasional (BN).

Katanya, calon yang dipilih juga perlu dilatih dan dibantu jika tidak mempunyai pengalaman agar mereka dapat menjadi pemimpin yang disukai masyarakat.

“Itu kita hendak buat, kita nak latih pemimpin UMNO ini belajar jadi pembangkang pasal dia selalu menang, menang, menang lepas itu bila dia kalah dia tidak reti.

“Kena belajar, ini baru betul akhirnya rakyat akan dapat manfaat, good wakil rakyat, ‘good opposition’,” katanya.

Beliau berkata, BN juga perlu mengatur strategi lebih dinamik dalam berhadapan cabaran semasa bagi memastikan parti itu terus relevan dan bangkit semula.

Menurutnya, strategi yang dirancang juga perlu realistik dengan kerjasama komponen BN dan kerajaan Perpaduan dalam memastikan kemenangan parti tersebut.

“Strategi politik merangkumi banyak benda, calon, gerak kerja, kesesuaian kawasan yang kita hendak bertanding dan kita ada pemimpin atau tidak dalam kawasan itu, kalau ada pemimpin bagus dan kawasan itu bukan kawasan kita, kita boleh bincang dalam komponen parti, dalam kerajaan perpaduan pasal kita ada calon yang bagus.

“Tetapi kalau dalam sesuatu kawasan itu kita tidak ada ‘good ‘calon tetapi calon lain lebih bagus dalam kerajaan perpaduan ini, kita kena ‘give and take’, ia kena dinamik,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang komponen parti MCA dan MIC, beliau berkata, UMNO tidak boleh menyalahkan parti komponen tersebut atas kekalahan BN dalam mana-mana pilihan raya.

Katanya, kedua-dua parti itu bergantung kepada UMNO yang menjadi tunjang dalam BN, sekiranya UMNO kuat dua parti komponen itu pun akan kuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN