JOHOR BAHRU: Tindakan Ketua Biro Aduan Awam Perikatan Nasional (PN) Johor, Lim Thow Siang mengendalikan beberapa kes berkaitan ‘scammer’ menyebabkan beliau turut menjadi sasaran kumpulan itu.
Beliau menerima ancaman diugut tembak oleh sekumpulan ‘scammer’ yang aktif di bandar raya ini dan Singapura pada 4 petang 18 Julai lalu menerusi mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.
“Individu berkenaan mengugut mahu mengancam keselamatan saya dengan niat ‘ingin memberikan kacang’ bermaksud peluru atau tembak selain ugut membakar pejabat saya. Saya mula membantu mangsa penipuan sejak 18 tahun lalu dan pernah menerima ugutan ringan sebelum ini, namun saya terus membantu demi memupuk kesedaran orang ramai,” katanya.
Terdahulu, Thow Siang membuat laporan tentang ugutan itu di Balai Polis Taman Desa Cemerlang, di sini.
Thow Siang tidak menolak kemungkinan kumpulan ‘scammer’ berkenaan tidak berpuas hati apabila dia menasihati mangsa supaya mengabaikan segala ugutan diterima mereka selain tidak membayar wang atau pampasan dituntut.
Dia menerima lima aduan dan telah cuba membantu kesemua mangsa dalam tempoh tiga minggu lalu.
“Kebanyakan mangsa bekerja di Singapura menjadi mangsa selepas hanya menghubungi ‘scammer’ yang menyamar sebagai syarikat pinjaman wang berdaftar. Walaupun mangsa tidak meminjam wang namun mereka terperangkap dengan taktik kotor yang mendapatkan maklumat peribadi dengan alasan mahu mengenal pasti kelayakan untuk membuat pinjaman,” katanya.
Kumpulan ‘scammer’ terbabit kemudiannya memaksa mangsa membuat bayaran sebagai yuran memproses pinjaman walaupun pemohon tidak membuat keputusan membuat pinjaman atau tidak.
“Malah mereka juga bertindak mengancam keluarga mangsa termasuk membakar halaman rumah sekiranya tidak akur dengan arahan untuk membayar wang membabitkan ribuan ringgit termasuk membabitkan dolar Singapura. Ada yang membayar wang yang diminta ‘scammer’ berulang kali kerana bimbang dengan ugutan diterima,” katanya. – UTUSAN










