Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah pusaka terbakar - Utusan Malaysia

Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah pusaka terbakar

RASNAH Tambi dan tiga cucunya melihat kediaman mereka yang musnah terbakar di Kampung Parit Jerman, Telok Kerang, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hanya linangan air mata pada wajah tujuh sekeluarga ketika menyaksikan kediaman mereka di Kampung Parit Jerman, Telok Kerang, dekat sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Kebakaran kira-kira 11.30 pagi itu menyebabkan mereka semua tinggal sehelai sepinggang serta memusnahkan dua buah motosikal.

Ketika kejadian semua ahli keluarga tiada di rumah kerana bekerja dan ke sekolah  termasuk pemiliknya, Rasnah Tambi, 70, yang pergi ke rumah ibunya, Surati Sanawi, 87, di kampung berhampiran.

Selepas membeli barangan keperluan sempena Jualan  Rahmah di Kampung Telok Kerang, dia ke Kampung Tasrif untuk menziarahi ibunya yang tingga bersendirian seperti biasa.

“Ketika sedang menyuapkan ibu, adik yang tinggal berhampiran rumah ibu  memaklumkan rumah saya terbakar setelah diberitahu oleh penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Jerman, di sini.

Selain Rasnah, rumah pusaka peninggalan suaminya itu turut didiami anak lelakinya, Mohd. Amir Ahmad, 45, dan menantunya, Zuzana Hayak, 43, serta cucu-cucunya, Azrell Hakim, 7, Azzarian Hakim, 13, Amnah Nafeesa, 19, dan Alia Danisah, 20,” katanya.

Buat sementara waktu, mereka  akan tinggal di rumah ibunya di Kampung Parit Tasrif.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pada pukul 11.47 pagi daripada orang awam.

Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, BBP Pontian Baru ((BBPB) dan Fire Post Benut membantu memadamkan kebakaran.

Kebakaran tersebut berjaya dikawal pada pukul 12.30 tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN