Trend pasangan muda tak nak anak rosakkan institusi keluarga - Utusan Malaysia

Trend pasangan muda tak nak anak rosakkan institusi keluarga

KHAIRIN-NISA Ismail (dua dari kiri) menyampaikan sijil Modul Keluarga Sakinah kepada seorang penerima pada Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Johor 2024 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Gaya hidup pasangan suami muda yang memilih untuk tidak memiliki anak atau ‘childfree’ dilihat sebagai trend yang amat membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, trend yang menular dalam kalangan pasangan muda itu boleh merosakkan institusi kekeluargaan.

Katanya, trend tersebut menyumbangkan terhadap penurunan statistik kelahiran hidup sebanyak 9.4 peratus, iaitu 106,386 kelahiran pada suku pertama tahun ini berbanding 117,413 kelahiran tahun lalu selain tahap kesuburan pasangan suami isteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malangnya, ketika ada pasangan yang begitu terdesak untuk mendapatkan zuriat, kini ada segelintir pihak yang mempopularkan ‘childfree’ dalam kalangan pasangan muda yang menolak kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga.

“Apa jua alasan yang diberikan budaya ‘childfree’ ini dilihat sangat tidak sihat dan boleh mengganggu-gugat peranan institusi kekeluargaan,” katanya pada Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Johor 2024 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan menasihatkan pasangan muda supaya tidak menganggap anak adalah beban mahupun alasan untuk tidak memiliki cahaya mata.

Beliau turut bersetuju dengan fatwa yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini bahawa makruh hukumnya bagi pasangan yang mengamalkan trend ‘childfree’.

Dalam pada itu, Khairin-Nisa mengakui enggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam era moden sangat mencabar dan kompleks kerana bukan sahaja dari sudut emosi dan fizikal, malah perlu berdepan dengan tekanan persekitaran.

Katanya, antara cabaran utama adalah mendepani kos sara hidup yang tinggi, masalah keseimbangan kerja dan keluarga, kewangan, pendidikan anak, tekanan kerja dan berpendapatan rendah.

“Hasil tinjauan juga mendapati terdapat kecenderungan dalam kalangan ibu bapa yang pernah terfikir untuk mencederakan atau membunuh diri atau melakukan sesuatu di luar kawalan terhadap ahli keluarga. Walaupun peratusannya kecil atau rendah tetapi situasi ini tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan isu kesihatan dan kesejahteraan mental ibu bapa.

“Maka, setiap ibu bapa terutamanya pasangan muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan kerajaan negeri telah membangunkan modul keibubapaan tersendiri, iaitu Modul Keluarga Sakinah (untuk keluarga Islam) dan Modul Keluarga Sejahtera (bukan Islam) yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×