Tiga kanak-kanak hilang dari pusat jagaan anak yatim - Utusan Malaysia

Tiga kanak-kanak hilang dari pusat jagaan anak yatim

POLIS kini sedang mengesan tiga orang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim di Kuala Pilah.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Polis kini sedang mengesan tiga orang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim di daerah ini pada hari Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, pihaknya telah menyiasat satu laporan polis yang dibuat oleh pihak pengurusan Yayasan Kasih Sayang Kuala Pilah iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan pusat jagaan bagi anak-anak yatim dan terbiar di Taman Cemerlang di sini.

Menurutnya, laporan dibuat berkaitan kehilangan tiga orang kanak-kanak perempuan yang merupakan penghuni asrama yang disediakan oleh pihak NGO terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kesemua yang hilang tersebut dikenali sebagai, Nur Aisha Umaira Mohd. Fazil, Nur Aina Fatiyyah Muhammad Mujahid, 12 dan Qaseh Tazqeerah Abdul Qayyum,11.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak perempuan tersebut berusia antara 11 hingga 14 tahun dan kesemuanya berbangsa Melayu.

“Usaha untuk mengesan ketiga-tiga kanak-kanak perempuan tersebut sedang giat dijalankan melibatkan semua elemen barisan hadapan pihak polis dan butiran mereka telah didaftarkan dalam Sistem Nur Alert,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Amran lagi, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan waris telah dimaklumkan tentang kehilangan tersebut dan semua maklumat berkaitan sedang dikumpul bagi mengenal pasti punca mereka melarikan diri dari asrama.

Beliau malahan berkata, pihak polis juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai tempat-tempat yang berkemungkinan dikunjungi oleh kanak-kanak terbabit.

“Kes disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya terkesan ketiga kanak-kanak perempuan tersebut,” katanya. 

Sehubungan itu, sebarang pertanyaan dan maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Ruzaidi Ismail di nombor 012 3648589 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di nombor 06-4842999.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN