KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan projek ternakan ikan tilapia menggunakan teknologi Rapid Biofloc yang dibangunkan hasil kajian pakar universiti tersebut bagi membantu memperkasakan taraf ekonomi penduduk.
Pemangku Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, melalui teknologi itu, ikan tilapia diternak menggunakan kanvas tanpa merosakkan tanah dan tidak memerlukan kawasan yang luas untuk membina kolam seperti ternakan konvensional selama ini.
Menurutnya, teknologi itu juga dapat mengurangkan kos makanan ikan sebanyak 30 peratus dengan penghasilan tilapia yang tidak berbau hanyir.
“Buat permulaan, terdapat lapan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta JPKK Persekutuan di daerah Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Besut akan menjalankan projek ini bermula bulan depan.
“Kita sasarkan sebanyak 100 lagi persatuan komuniti seperti ini akan membuat permohonan sebelum akhir tahun ini dengan jangkaan pengeluaran sebanyak empat tan ikan tilapia untuk setiap tuaian (enam bulan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMT Jaya Holding Sdn. Bhd. (UMTJ), Sabasun Hyper Runcit Sdn. Bhd. (Sabasun) dan Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) di UMT di sini, kelmarin.
Melalui kerjasama tersebut, UMT melalui anak syarikatnya memberi bimbingan dan memantau peserta untuk menternak ikan tilapia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi memaksimumkan pengeluaran.
Hasil keluaran ikan tilapia itu pula akan dijual kepada Penentu dan Sabasun yang berperanan sebagai ejen pemasaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap projek dianggarkan menelan kos antara RM80,000 hingga RM10,000 dengan dana disalurkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan. – UTUSAN











