SEREMBAN: Pihak majikan di negeri ini yang gagal untuk menempatkan pekerja asing mereka di tempat penginapan yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bakal berdepan tindakan dibawah Akta 446 ataupun di Pusat Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan berkata, sebelum ini semua majikan yang menggaji pekerja asing telah diberikan tempoh masa tiga bulan untuk menempatkan pekerja mereka di penginapan yang diperakui oleh JTK dan mendapat kebenaran oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Bagaimanapun tempoh masa tersebut telah pun tamat maka semua majikan termasuk pengusaha premis makanan di negeri ini perlu menempatkan pekerja asing mereka di CLQ berdekatan.
“Berdasarkan rekod JTK Negeri Sembilan, terdapat 21 CLQ yang berdaftar selain yang disediakan oleh majikan sendiri. Para majikan yang menggajikan pekerja asing juga dilarang sama sekali menempatkan mereka di kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, Langkah tersebut diambil sebagai komitmen menyediakan satu persekitaran yang kondusif bagi pekerja seterusnya meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.
“Saya juga ingin meminta agensi penguatkuasaan bertindak secara tegas dalam isu ini menerusi lunas undang-undang bagi memastikan tiada lagi pekerja asing yang ditempatkan di pusat penginapan haram ataupun kawasan perumahan bermula hari ini,” katanya lagi.
Ujar beliau, kerajaan negeri mengharapkan sokongan serta komitmen semua pihak termasuk semua majikan yang menggaji pekerja asing dalam merealisasikan usaha ini supaya isu penempatan pekerja asing dapat diurus dengan tersusun dan sistematik.-UTUSAN.











